Kota Kinabalu: Politeknik Kota Kinabalu (PKK) dan Politeknik Negeri Sambas (POLTESA) Indonesia menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Surat Niat (LoI) di sini baru-baru ini.
LoI yang yang dimeterai itu adalah bagi membangunkan bakat dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara dua institusi berkenaan.
Timbalan Pengarah Akademik PKK, Abdul Razak Mohd Daim berkata, surat niat itu sekali gus membantu PKK dalam menyokong fokus utama Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) iaitu pengantarabangsaan dan pemindahan dan perkongsian ilmu.

“Program ini merangkumi perkongsian amalan baik dan perkongsian ilmu yang bakal memberi impak besar kepada kedua-dua institusi yang terlibat serta program pengantarabangsaan ini perlu diteruskan lagi demi pendidikan TVET di negara kita,” katanya.
Bagi Pengarah POLTESA, Yuliansyah berkata, jalinan kerjasama ini merangkumi aspek pengantarabangsaan, penyelidikan, tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan perkongsian ilmu.
Katanya, hasil daripada kerjasama ini diharapkan agar kadar sumber manusia yang dihasilkan di POLTESA meningkat dan dapat bersaing di pasaran kerja selaras dengan objektif kementerian.
Delegasi POLTESA seramai 17 orang telah membuat lawatan di kawasan fasiliti akademik PKK dan sesi perkongsian ilmu antara pensyarah dengan tujuan untuk bertukar amalan baik bagi memastikan pendidikan TVET di kedua-dua negara dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi. – SABAH MEDIA / FOTO PKK