KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian (MIDE) Datuk Phoong Jin Zhe menafikan dakwaan bahawa Syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel) telah menangguhkan pelaburan mereka di Sabah, sebaliknya menegaskan projek itu berjalan mengikut perancangan.
Katanya, dakwaan bahawa Esteel kehilangan keyakinan terhadap Kerajaan Negeri dan menangguhkan pelaburan mereka adalah tidak berasas.
“Untuk makluman, pelaksanaan pelaburan Fasa 1 oleh syarikat Esteel di Sabah sedang berjalan dengan kemajuan yang ketara. Antara perkembangan utama termasuk kelulusan Pelan Pembangunan (DP) oleh Majlis Daerah Sipitang, kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi kerja-kerja tanah oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS), serta pelaksanaan siasatan tanah bagi tapak pembinaan kilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, beberapa komponen utama lain juga telah dijalankan, termasuk simulasi Full Mission Shiphandling (FMSS) bagi pembangunan jeti serta penyediaan Terma Rujukan (TOR) bagi Laporan EIA yang akan dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk kelulusan.
Tambah beliau, Lesen Pengilang (FML) di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 bagi pelaburan Fasa 1 telah diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 24 Januari 2025.
“Kelulusan ini mencerminkan komitmen serta sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh sektor pembuatan di Sabah. Ia juga membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan industri serta meningkatkan daya saing Sabah sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut menegaskan komitmen untuk memenuhi keperluan utama syarikat Esteel, termasuk bekalan gas asli. Satu majlis pertukaran dokumen perjanjian bagi pembekalan gas asli antara PETRONAS, Sabah Energy Corporation (SEC) dan Esteel dijadualkan berlangsung pada 28 Februari 2025.
“Berdasarkan maklumat terkini daripada Esteel, kerja-kerja penyediaan tapak dan pembinaan kilang dijangka bermula Mei 2025. Oleh itu, sebarang dakwaan bahawa syarikat ini menangguhkan pelaburan kerana hilang keyakinan terhadap Kerajaan Negeri adalah tidak benar,” tegasnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Perjanjian Penyewaan Tanah bagi pelaburan Fasa 2 dan Fasa 3 di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) telah ditandatangani pada 31 Disember 2024, membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan serta sokongan Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Negeri melalui MIDE akan terus memastikan pengoperasian kilang ini dipercepatkan demi manfaat ekonomi Sabah dan kesejahteraan rakyat,” katanya.