Beaufort : Tiga penerima rumah mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan di sini bakal menyambut Ramadan di rumah baharu apabila menerima kunci rumah berkenaan semalam.
Penyerahan kunci rumah secara simbolik itu disampaikan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam di tiga buah kampung iaitu Kampung Silaun, Kampung Labi, dan Kampung Lawa.
Hadir sama pada penyerahan kunci rumah itu adalah Pegawai Daerah Beaufort Mohd Nazri Anjun.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, semua penerima rumah berkenaan adalah dipilih menerusi sistem eKasih yang wajar diberi keutamaan untuk menerima rumah berkenaan.
“Secara keseluruhan bermula 2022 sehingga tahun ini sebagaimana yang diperuntukkan Kerajaan, kita terutama di DUN Lumadan sudah menerima 100 buah rumah yang sudah siap dan sedang dalam pembinaan.
“Manakala pada hari ini (semalam) kita menyerahkan kunci rumah secara simbolik kepada tiga penerima di Kampung Silaun, Kampung Labi, dan Kampung Lawa. Setiap penyerahan saya menyaksikan detik penuh makna, di mana impian untuk memiliki rumah yang selesa akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan kunci rumah berkenaan kepada penerima terlibat.
Katanya, lebih istimewa, penyerahan itu berlangsung menjelang ketibaan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Saya dapat merasakan betapa besar maknanya menerima rumah baharu saat Ramadan semakin hampir. Ia ibarat membuka lembaran baru dalam kehidupan, menyambut bulan mulia dengan lebih tenang dan selesa bersama keluarga.
“Bayangkan bagaimana mereka kini dapat berbuka puasa, bersahur, dan menunaikan solat tarawih di rumah sendiri satu nikmat yang tidak ternilai.
“Dalam kesempatan ini, saya juga menasihati para penerima agar menjaga rumah yang telah diberikan dengan penuh tanggungjawab. Rumah ini bukan sahaja tempat berlindung, tetapi juga amanah yang perlu dipelihara.
“Pastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih, selamat, dan terjaga supaya kehidupan seharian menjadi lebih selesa dan harmoni,” katanya. – SABAH MEDIA