Oleh NORMIMIE DIUN
PAPAR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak seharusnya dipersoalkan kerana merayu undi bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang, kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Menurutnya, merayu sokongan adalah sebahagian daripada tugas seorang ahli politik untuk meyakinkan rakyat, bukan memaksa atau mengungkit.
“Datuk Seri Hajiji bukan sekadar merayu, tetapi beliau pada sesi bersama penjawat awam itu, beliau membentangkan pencapaian dan hala tuju kerajaan negeri. Jadi saya tidak tahulah orang bercakap itu dia tidak perlu merayu, baguslah, kita tengok keputusan nanti.
“Kalau bagi saya ahli politik ini memang tanggungjawabnya adalah untuk meyakinkan bukan memaksa, bukan mengungkit tapi tiada masalah untuk kita merayu dengan pencapaian kita tunjukkan kepada rakyat dan meminta rakyat untuk mempertimbangkan samada wajar atau tidak kita diberikan mandat untuk meneruskan kerja-kerja kita yang belum selesai.
“Jadi kalau ada pihak yang tidak mahu merayu, tahniah! mungkin mereka yakin, jadi rakyat tidak perlu lagi mendengar rayuan merekalah kerana mereka yakin mereka mendapat undi,” katanya Ketika ditemui media selepas Program Advokasi Sara Hidup Dan Pembukaan Akaun Bank Penerima Sumbangan Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) Parlimen Papar di Dewan Datuk Salleh Sulong, di sini pada Khamis (27 Feb).
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata demikian bagi membidas dakwaan kenyataan Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mempertikaikan seruan Hajiji agar rakyat terus memberi peluang kepada kerajaan negeri hari ini untuk meneruskan kestabilan dan kesinambungan kepimpinan yang telah terbukti berjaya.
Ditanya mengenai perkembangan terkini dalam kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan mana-mana parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang, Armizan menegaskan beliau tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan rasmi mengenainya.
“Saya tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan rasmi mengenai kerjasama. Tetapi yang pasti, di kawasan seperti Papar, sudah ada pemimpin yang secara terbuka menyatakan bahawa mereka tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana parti,” jelasnya.
Bagaimanapun Armizan berkata, pihaknya tetap bekerja keras bagi memastikan calon-calon mereka bersedia untuk bertanding.
“Bagi saya, apa pun cerita tentang kerjasama ini, yang paling penting adalah kita bekerjasama dengan rakyat. Akhirnya, biar rakyat Sabah yang menentukan siapa pemimpin yang mereka percaya boleh membawa perubahan,” katanya.
Tambah beliau lagi, dalam landskap politik yang semakin dinamik, adalah lebih adil untuk membiarkan rakyat membuat keputusan tanpa sebarang campur tangan pihak berkepentingan.