Beaufort : Sebanyak 57 beg darah berjaya dikutip pada program Program Derma Darah Ambang Ramadan 2025 anjuran bersama Brotherhood Bikers United dan Y&Y Group yang diadakan di Blok Sokongan Klinikal Hospital Beaufort di sini baru-baru ini.
Presiden Brotherhood Bikers United (BBU), Md Fazuleh KK Salleh berkata, program seumpama itu dapat menerapkan lagi tanggungjawab sosial ahli menerusi aktiviti kelab dan persatuan.
Katanya, program itu juga mampu mendidik dan memahami keperluan menyumbang kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, pihaknya memilih untuk mengadakan program derma darah itu adalah sebagai kaedah terbaik untuk menyumbang kepada masyarakat berikutan keperluan darah dari masa ke semasa amat diperlukan.
“Saya melihat dengan cara ini, fungsi sama ada kelab atau persatuan akan menjadi efektif, berimpak dan dekat dengan masyarakat sekitar” katanya.
Fazuleh berkata, selain menggalakkan setiap ahli untuk menderma secara konsisten, beliau turut melihat pendermaan darah sebagai cara untuk memeriksa tahap kesihatan ahli-ahli agar sentiasa dalam keadaan terbaik sekaligus menerapkan semangat untuk menderma darah secara berkala dan berterusan.
Kelab motorsikal berkuasa tinggi Brotherhood Bikers United yang ditubuhkan sejak 2013 dengan keahlian 154 orang itu telah terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan di Beaufort.
Mengenai perancangan tahun ini, Fazuleh berkata, kelab itu dijangka akan melibatkan diri pada Kem Perubatan yang dijangka akan diadakan pada bulan Jun tahun ini.
“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Y&Y Group kerana sudi bekerjasama dengan kelab dan berterima kasih kepada Hospital Beaufort yang turut sama menjayakan program kali ini dan berharap agar kerjasama berterusan dengan program-program yang lebih menyentuh hati dan minda masyarakat” katanya. – SABAH MEDIA