Kota Kinabalu: Semua surau dan masjid di negeri ini digalakkan untuk mengadakan program keagamaan termasuk bertadarus Al-Quran bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang bakal tiba.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) akan terus bekerjama dalam melaksanakan program keagamaan di seluruh negeri.

“Alhamdulilah kita melihat bahawa masyarakat atau umat Islam berlumba-lumba untuk melaksanakan ibadah, terawih beramai-ramai, kemudian bersedakah dan melaksanakan program bersama.
“Ini semua salah satu daripada hasil kesedaran umat Islam dan kita juga berharap agar semua tempat di seluruh daerah, di seluruh negeri Sabah ini termasuk di surau, di masjid mengadakan program khususnya seperti bertadarus Al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis kesyukuran dan penyampaian sijil penghargaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran 2025 dan Pelancaran Ambang Ramadan Tahun 1446H/ 2025M di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah JHEAINS Datuk Jumain Abdul Ghani
Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, pihak JHEAINS dan MUIS akan turut berusaha untuk menyediakan keperluan dari sudut penceramah dan sebagainya.
“Pada tahun ini sempena Nuzul Al-Quran kita akan adakan program besar untuk menyemarakkan program sempena Ramadan ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai penguatkuasaan pada Ramadan, Arifin berkayta, penguatkuasaan akan terus dilaksanakan seperti biasa dan tahap kesedaran umat Islam bagi menghormati bulan Ramadan amat tinggi.
“Jarang kita lihat kes-kes berhubung dengan orang seperti sebelum-sebelum ini seperti makan dikhalayak ramai, ini kesedaran sudah ada dan di samping itu kita juga mengadakan kempen untuk menghormati bulan Ramadan sehingga jarang kita temui kes-kes umpama ini kerana umat Islam sudah sedar dan semakin meningkat kesedaran untuk menghormati bulan yang mulia ini,” katanya. – SABAH MEDIA