Kota Kinabalu : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) terus memantau isu penjualan gula-gula berbentuk mata atau lebih dikenali sebagai ‘gummy eyeball’ di negeri ini yang telah dilarang penjualannya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarah JKNS Dr Maria Suleiman berkata, kawal selia keselamatan makanan adalah tertakluk di bawah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.
“Setakat ini, tiada kes seumpama itu dilaporkan di negeri ini, namun kami tetap menjalankan penguatkuasaan berdasarkan Akta Makanan yang sedia ada.

“Bagaimanapun tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan makanan termasuk dalam aspek pembungkusan, saiz dan jenis makanan yang boleh mengundang risiko keselamatan kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini semalam.
Dr Maria berkata, kunjungan tersebut bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara JKNS dengan Kerajaan Sabah selain membincangkan perancangan kesihatan yang lebih baik untuk negeri ini.
Dalam pada itu, Dr Maria berkata, JKNS menggariskan lima strategi utama bagi meningkatkan taraf kesihatan di negeri ini.
Katanya, lima strategi tersebut antaranya merangkumi kuasa autonomi kesihatan bagi JKNS.
“Kedua adalah untuk meningkatkan struktur pembangunan fasiliti kesihatan negeri Sabah dan ketiga memperkasakan perkhidmatan kesihatan bagi memberi perkhidmatan kualiti yang terbaik.
“Manakala yang keempat adalah untuk mempertingkatkan sumber manusia dan yang terakhir adalah strategi untuk meningkatkan peruntukan kewangan mengurus,” katanya.