HomeUtamaMahkamah tolak bantahan awal, kini SABAR teruskan cabar Akta Laut Wilayah

Mahkamah tolak bantahan awal, kini SABAR teruskan cabar Akta Laut Wilayah

Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini telah menolak bantahan awal Kerajaan Persekutuan, membolehkan Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) meneruskan cabaran undang-undangnya berhubung Akta Laut Wilayah (TSA) 2012.

Hakim Alexander Siew How Wai turut menetapkan 14 Mac untuk sebutan kes melalui Zoom bagi membincangkan permohonan lain oleh pihak plaintif.

Prosiding hari ini dijadualkan untuk menentukan sama ada Mahkamah Tinggi di sini boleh mendengar kes ini dan sama ada SABAR mempunyai ‘locus standi’ (kapasiti) untuk mengemukakan tuntutan undang-undang, susulan bantahan awal yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam kedua-dua perkara tersebut.

Pada September 2023, saman pemula difailkan oleh Pengerusi SABAR, Datuk Dr Johan Arriffin Samad, bagi mencabar kesahihan TSA yang mengehadkan sempadan maritim Negeri kepada hanya tiga batu nautika.

Pihak plaintif menamakan Kerajaan Persekutuan Malaysia sebagai satu-satunya defendan.

Dalam saman itu, plaintif memohon deklarasi bahawa Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 tidak terpakai, tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal di wilayah Sabah selepas 19 Jun 2012;

Deklarasi bahawa wilayah Sabah, selepas pembatalan Proklamasi Darurat 1969 pada 19 Jun 2012, termasuk pelantar benua di bawah North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954;
Deklarasi bahawa Ordinan Perlombongan 1960 adalah sah di Sabah selepas 19 Jun 2012;

Deklarasi bahawa Seksyen 3(3) Akta Laut Wilayah 2012 yang mengehadkan perairan wilayah Sabah kepada tiga batu nautika tidak terpakai, tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal di Sabah mulai 22 Jun 2012;

Deklarasi bahawa perairan wilayah Sabah, selepas pembatalan Proklamasi Darurat 1969 pada 19 Jun 2012, termasuk 12 batu nautika laut di bawah Konvensyen Laut Wilayah dan Zon Bersebelahan 1958 dan North Borneo (Definition Of Boundaries) Order In Council 1958;

Plaintif juga memohon kos dan sebarang relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif diwakili oleh peguam Roland Cheng manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili pihak defendan.

RELATED ARTICLES
Utama

Era digital tanpa sempadan tuntut pelajar matang berfikir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular