Oleh NORMIMIE DIUN
PAPAR: Program outreach bagi pembukaan akaun Bantuan SYUKUR terus diperluas bagi memastikan setiap penerima yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sabah bermula tahun 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata program ini dilaksanakan bagi mempercepatkan proses penyaluran bantuan kepada penerima, terutama mereka yang masih belum mempunyai akaun bank atau butiran akaun mereka tidak lengkap dalam sistem Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kami mahu memastikan semua penerima Bantuan Syukur menerima bantuan mereka tepat pada masanya, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan ini. Program outreach ini membantu mereka yang masih belum mempunyai akaun untuk membuka akaun dan mengemas kini maklumat dalam sistem,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Sara Hidup Dan Pembukaan Akaun Bank Penerima Sumbangan Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) Parlimen Papar di Dewan Datuk Salleh Sulong, di sini pada Khamis (27 Feb).
Armzan berkata, bagi fasa pertama bantuan (Januari – Mac 2025), sejumlah 72,039 isi rumah di seluruh Sabah telah menerima bantuan, termasuk 1,544 isi rumah di Parlimen Papar.
“Namun, masih terdapat 19,839 penerima di Sabah dan 433 di Papar yang belum mempunyai akaun atau butiran akaun mereka tidak lengkap dalam sistem SMJ,” katanya.
Menurut Armizan lagi, Sekretariat SMJ memberi jaminan bahawa bantuan sebanyak RM900 bagi tiga bulan akan dikreditkan ke akaun penerima dalam tempoh tujuh hari selepas maklumat akaun dimasukkan.
“Kami menyeru semua pihak termasuk wakil rakyat dan agensi berkaitan untuk membantu menyebarluaskan maklumat ini. Usaha ini bukan sahaja memastikan tiada penerima yang tercicir, tetapi juga sebahagian daripada langkah kerajaan dalam menangani kos sara hidup dan mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah,” tambahnya.