BEAUFORT, Tujuh Ketua Isi Rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Klias menerima kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di lokasi berasingan semalam.
Pembantu Menteri 1 Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.32 Klias, YB Datuk Isnin Aliasnih berkata, kerajaan negeri komited dalam menyediakan kemudahan perumahan kepada rakyat yang memerlukan.
“Sejak tahun 2022, sebanyak 60 buah Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) telah siap dibina dan diserahkan kepada penerima yang layak.

Ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memastikan tiada rakyat yang tersisih daripada menerima manfaat pembangunan,” katanya
Menurutnya lagi, rumah yang dibina ini diharap dapat memberikan sinar harapan kepada penerima, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan Hari Raya tahun ini.
Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Putatan, Tuan Mohd Nazri Ajun; PPM N.32 Klias, Tuan Matjun Haji Mathun; serta beberapa pemimpin setempat.
Program Rumah Mesra SMJ ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman yang selesa dan selamat, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan tegar di Sabah.