Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Datuk Phoong Jin Zhe, memuji Mayor Bandaraya di atas keprihatinannya mendengar rayuan orang ramai mengurangkan kadar bayaran pas parkir bulanan untuk Tempat Letak Kenderaan Foh Sang.
Phoong menjelaskan bayaran bulanan pas parkir untuk tempat letak kereta bertingkat itu pada awalnya berjumlah RM150 telah dikurangkan kepada RM80.
“Pengurangan hampir 50 peratus ini akan meringankan beban kewangan pengguna di kawasan berdekatan seperti penduduk, pemilik perniagaan dan penjaja,” katanya.
Phoong menjelaskan telah mengemukakan rayuan pemilik perniagaan Foh Sang semasa pertemuan dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 18 Februari 2025.
Dalam rayuan itu, mereka meminta agar kadar parkir yang lebih berpatutan untuk memastikan penduduk Luyang dapat mengakses pilihan parkir yang lebih mampu dan praktikal.
Beliau mengakui bahawa walaupun kadar yang dikaji semula ini mungkin tidak memuaskan semua pihak tetapi ia adalah keputusan yang seimbang dengan mengambil kira kos operasi DBKK, yang merangkumi penyelenggaraan lif bangunan, pencahayaan, sistem pengudaraan, pembersihan, dan pengurusan parkir.
“Pas bulanan standard untuk tempat letak kereta luar adalah sekitar RM50. Kini, dengan hanya RM80, pengguna mendapat tempat letak kereta berbumbung dengan kemudahan tambahan. Saya percaya ini adalah harga yang adil,” katanya.
Phoong menegaskan komitmen beliau dan pasukannya untuk bekerja demi rakyat Luyang. Walaupun kesempurnaan mungkin sukar dicapai.
Beliau memberi jaminan bahawa setiap usaha dilakukan dengan ikhlas dan penuh dedikasi untuk meningkatkan Luyang sebagai kawasan yang boleh didiami dan berorientasikan komuniti.
Tempat letak kereta bertingkat Foh Sang telah dibuka awal Januari lepas dengan menawarkan sebanyak 321 petak letak kereta dan 22 ruang letak motosikal.
Tempat letak kereta itu juga dilengkapi dengan dua lif dan sistem parkir automatik.