Oleh FLORIETA DIET
KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) menyambut baik pengumuman kadar dividen 6.3 peratus oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2024, menyifatkannya sebagai kadar yang menggalakkan.
Presidennya, Tan Sri T.C Goh berkata, kadar dividen ini merupakan yang tertinggi sejak 2017, di mana KWSP mencatatkan dividen 6.9 peratus untuk simpanan konvensional dan 6.4 peratus bagi simpanan Syariah.
Menurutnya, peningkatan keuntungan pelaburan KWSP daripada RM66.99 bilion pada 2023 kepada RM74.46 bilion tahun lalu, atau sebanyak 11 peratus, adalah satu pencapaian positif.
“Dividen untuk simpanan konvensional meningkat sebanyak 0.8 peratus, manakala simpanan Syariah meningkat 0.9 peratus. Ini adalah kadar yang wajar dan memberi manfaat kepada ahli KWSP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Goh berpendapat bahawa kadar dividen bagi skim KWSP pekerja asing atau pekerja migran yang dicadangkan tidak seharusnya disamakan dengan kadar dividen rakyat Malaysia.
“Kerajaan perlu menetapkan dasar yang jelas supaya rakyat Malaysia menikmati kadar dividen tertinggi. Ini penting kerana ahli KWSP bergantung kepada simpanan mereka untuk persaraan dan perbelanjaan hidup pada usia tua,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa pekerja asing tidak bekerja di Malaysia untuk jangka panjang dan tidak merancang untuk bersara di negara ini.
“Dari segi sumbangan, pekerja migran dan majikan masing-masing hanya menyumbang dua peratus kepada KWSP. Sebaliknya, pekerja tempatan menyumbang 11 peratus, manakala majikan menyumbang antara 12 hingga 13 peratus bergantung kepada gaji. Ini menunjukkan jurang yang ketara antara kedua-dua kumpulan,” jelasnya.
Goh turut mengingatkan bahawa dengan ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran dalam sektor pelaburan domestik, kerajaan serta KWSP perlu merancang lebih awal bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang stabil.
“Sasaran pertumbuhan tahunan sekurang-kurangnya lima peratus penting bagi mengekalkan kadar dividen yang menguntungkan untuk 16 juta ahli KWSP,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan bahawa daripada 16 juta ahli KWSP, hanya 12 juta yang masih aktif mencarum, sementara 6.7 juta atau 51 peratus ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.
“Lebih membimbangkan, hanya 17 peratus ahli berumur 51 hingga 55 tahun memenuhi syarat simpanan asas KWSP. Ini menunjukkan prospek persaraan yang mencabar bagi kumpulan ini,” ujarnya.
Goh menegaskan bahawa angka ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan dan masyarakat, selain langkah segera perlu diambil untuk memperbaiki keadaan kewangan rakyat bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin.