Kota Kinabalu : Empat penjaja yang menjalankan aktiviti menjaja di tepi jalan berhampiran Jalan Punai di sini dikenakan tindakan selepas didapati gagal menunjukkan lesen penjaja yang sah.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu termasuklah menyita peralatan penjaja yang terlibat dan hasil sitaan turut dibawa ke DBKK untuk tindakan selanjutnya.

Dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada 26 Februari lalu itu turut mendapat kerjasama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
“Dalam operasi ini, seramai 24 anggota terlibat yang terdiri daripada anggota PDRM, dan anggota DBKK daripada Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan.
“Semasa operasi dijalankan, terdapat empat penjaja tanpa lesen yang dikenal pasti sedang menjalankan aktiviti menjaja di tepi jalan. Kesemua penjaja ini gagal menunjukkan lesen penjaja yang sah apabila diminta oleh pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan turut mendapati bahawa tahap kebersihan di sekitar kawasan menjaja berada dalam keadaan kotor, dengan sisa-sisa air dan makanan yang dibuang ke dalam parit berhampiran,” menurut kenyataan itu di sini semalam.
DBKK turut memaklumkan, para penjaja turut diberi amaran keras agar tidak menjalankan aktiviti menjaja di kawasan tersebut.
Tambah kenyataan itu lagi, DBKK memandang serius perkara itu dan akan meneruskan usaha pemantauan terhadap pematuhan penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
Pemantauan yang diadakan secara berkala ini bertujuan untuk memastikan kesalahan seperti ini tidak diulang di masa akan datang. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK