Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM101,000, seberat 3158.05 gram dalam serbuan di sini dan Penampang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner (ACP) Kassim Muda berkata polis turut menahan dua orang suspek iaitu seorang wanita berbangsa Suluk berumur 25 tahun dan seorang lelaki berbangsa Melayu berumur 70 tahun. Sindiket ini juga dipercayai bergiat aktif sejak awal 2024.
“Berdasarkan maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota JSJN IPD Kota Kinabalu pada 27 Februari lepas telah menahan suspek wanita yang sedang memegang satu beg kertas di hadapan sebuah kenderaan jenis proton Satria yang dpandu oleh suspek lelaki di sekitar sebuah bangunan apartment di sini,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Tambahnya lagi, hasil pemeriksaan di dalam beg kertas yang dibawa oleh wanita itu berisi dadah jenis syabu seberat 1048.02 gram. Ekoran tangkapan itu, pasukan telah membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah di Penampang dan berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 2110.03 gram.
“Saringan awal polis mendapati suspek wanita positif dadah jenis ketamin, methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek lelaki adalah negatif.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengedar bekalan dadah jenis syabu dalam kuantiti yang banyak kepada pengedar, dan kemudian dijual dalam peket-peket kecil sesuai dengan permintaan di sekitar daerah ini dan Penampang,” katanya.
Kassim juga menjelaskan bahawa kes ini disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman bermula pada 27 Februari lepas bagi membantu siasatan.
Tambahnya lagi, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Proton Satria, tiga bentuk cincin, tiga utas jam tangan dan wang tunai keseluruhan bermilai RM326,109. Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah berjumlah RM427,109.
“JSJN Kota Kinabalu akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan.
“IPD Kota Kinabalu bersama JSJN bertekad memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-52922,” katanya.