Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana membantu pemberi pinjam wang tanpa lesen, yang merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Mohammad Edwin Chung Abdullah, 22, akan dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Marily Kelvin.
Mohammad Edwin Chung Abdullah telah membantu pemberi pinjam wang tanpa lesen dengan menawarkan pinjaman wang tanpa kelulusan pada 26 November 2024 di sebuah rumah di Kampung Kolopis, Penampang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menahan tertuduh hasil maklumat dan risikan yang dijalankan. Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik tertuduh mendedahkan terdapat aktiviti atau kegiatan memberikan pinjaman wang tanpa lesen yang sah.
Semasa rayuan, Mohammad Edwin, yang diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lim Ming Zoong @ Lawrence, memohon hukuman diringankan kerana tertuduh kini tidak bekerja dan mempunyai seorang anak.
Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.