Sandakan : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan rampasan berjumlah lebih RM1 juta membabitkan 70 kes atas pelbagai kesalahan di Sandakan sejak 1 Januari hingga semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Sandakan Azdy Zukkry John berkata bagi tempoh sama pihaknya turut menerima 24 aduan dan daripada jumlah itu 23 aduan diselesaikan manakala bakinya masih disiasat.

Katanya, bagi tempoh sama, sejumlah RM15,000 kompaun dikutip atas pelbagai kesalahan.
“Sejak 1 Januari sehingga kini, KPDN Cawangan Sandakan telah menjalankan 1,683 pemeriksaan yang meliputi 1,124 pemeriksaan di bandar dan 559 pemeriksaan di luar bandar di daerah Sandakan.
“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 70 kes telah diambil tindakan yang membabitkan nilai rampasan keseluruhannya berjumlah RM1,008,409.74.
“Daripada 70 kes, 56 kes telah diselesaikan dan dikompaun. Jumlah keseluruhan kompaun yang dikutip berjumlah RM15,000.00 manakala 14 kes sedang dalam siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama sepasukan anggota KPDN cawangan Sandakan mengadakan pemantauan dan pemeriksaan Bazar Ramadan di kawasan tempat ketak kenderaan, Bataras Hypermarket Sandakan, Bandar Utama, Batu 6, Jalan Utara, Sandakan hari ini.
Mengulas lanjut, Azdy berkata, KPDN cawangan Sandakan akan meneruskan pemeriksaan di bawah Ops Pantau 2025 khasnya di seluruh daerah ini bagi memastikan para peniaga terus mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
Katanya, Ops Pantau 2025 akan memfokuskan pemantauan berkaitan bekalan dan harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, perbahasaan halal dan penjualan barang keperluan Hari Raya Aidilfitri.
“Pemeriksaan ke atas kira-kira 100 buah gerai di bazar Ramadan pada hari ini mendapati hampir keseluruhan peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN terutamanya dari segi penandaan harga di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
“Selain daripada bazar Ramadan sebagai lokasi tumpuan anggota penguat kuasa KPDN pada setiap Ramadan, rutin pemeriksaan di premis-premis perniagaan seperti di pasar awam, pasa raya, pasar basah dan kedai runcit di seluruh daerah ini juga akan dipertingkatkan terutamanya di sepanjang bulan Ramadan hingga menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Para peniaga adalah diingatkan agar mematuhi perundangan yang ditetapkan oleh Kerajaan dengan amalan perniagaan yang beretika serta tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan berlebihan,” katanya.
Katanya, pengguna juga dinasihatkan supaya bijak berbelanja dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah. – SABAH MEDIA