Oleh J. EVACHEL JOHN
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menawarkan Program Pendidikan Bahasa Kadazandusun (BKD) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurut Madius pada ketika ini UMS ada menawarkan program Bahasa Kadazandusun kepada pelajar yang berminat dan Kursus Kadazandusun juga telah wujud sejak sekian lama di universiti ini.
“Walau bagaimanapun, Program Pendidikan Bahasa Kadazandusun bagi guru – guru bahasa BKD masih belum ada, dan Tuaran mencadangkan agar program itu diperluas ke UMS seperti mana yang ditawarkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya.
Madius mengemukakan cadangan itu semasa menyampaikan ucapan perbahasan Peringkat Jawatankuasa di bawah KPT pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan KPT, Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyambut baik cadangan Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) itu.
“Bagi pihak KPT kita sentiasa komited untuk terus memperkasa bahasa etnik terutama di Sabah.
“Cadangan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Tuaran agar Program Pendidikan Bahasa Kadazandusun ditawarkan di UMS adalah sangat baik.
“Ia akan akan memudahkan kepada pelajar-pelajar dari Sabah untuk menyambung pengajian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mustapha berkata bahawa saranan Madius kepada KPT mengenai pemberian biasiswa kepada pelajar dan guru bahasa yang melanjutkan pengajian dalam Bahasa Etnik di peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) akan dikaji.
“Cadangan berkaitan pemberian biasiswa kepada pelajar Bahasa Kadazandusun (BKD), Bahasa Iban, dan Bahasa Semai di UPSI akan diteliti oleh pihak kementerian,” katanya.