HomeUtamaPolis Sabah tumpas sindiket dadah, rampas syabu seberat 63.55kg bernilai RM 3...

Polis Sabah tumpas sindiket dadah, rampas syabu seberat 63.55kg bernilai RM 3 juta

Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket dadah dengan merampas syabu seberat 63.55 kilogram bernilai kira-kira RM 3 juta dalam satu operasi di daerah Penampang pada 27 Februari lalu.

Jauteh (tengah) menunjukkan bungkusan syabu yang dirampas pada sidang media di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata serbuan dilakukan pada jam 9.00 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Penampang.

“Polis menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser warna emas yang dinaiki dua lelaki tempatan berusia 30 dan 33 tahun, yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemui empat kotak besar mengandungi bungkusan dadah jenis methamphetamine (syabu) dengan berat kasar 63.55 kilogram yang disimpan di bahagian belakang kenderaan tersebut.

“Siasatan awal mendapati bekalan dadah ini dibawa ke Sabah untuk diseludup ke luar negara, khususnya ke Filipina melalui Sandakan.

“Keseluruhan dadah dipercayai ini datang daripada semenanjung Malaysia iaitu melalui pengangkutan udara.

“Jumlah dadah yang dirampas ini mampu menampung lebih 300,000 penagih,” tambahnya.

Kedua-dua suspek kini direman sehingga 7 Mac 2025 untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Selain rampasan dadah, polis turut menyita beberapa aset bernilai RM 188,399 termasuk wang tunai RM 899, barang kemas bernilai RM 14,000, serta barangan eksklusif seperti jam dan beg berjenama berjumlah RM 13,500.

Turut disita dua kenderaan mewah, iaitu Audi A5 (RM 60,000) dan Mercedes Benz (RM 100,000).

Selain itu, nilai rampasan melibatkan Toyota Land Cruiser yang digunakan suspek dianggarkan bernilai RM 55,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM 3.243 juta.

RELATED ARTICLES
Utama

Projek bekalan air bersih, Rotary bantu lebih 1,000 penduduk Kg Takutan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular