Kota Kinabalu : Pasukan mewakili PTBNS Borneo berjaya mengungguli kejohanan boling Piala Mayor 2025 bagi kategori berpasukan yang berlangsung di Pusat Bowling KK Galaxy Bowl, Tingkat 8, Bangunan Centre Point Sabah (CPS) di sini baru-baru ini.
Kemenangan itu membolehkan pasukan PTBNS Borneo membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, piala iringan, piala dan wang tunai berjumlah RM4,000 yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Robert Lipon.
Tempat kedua dan ketiga bagi kategori sama masing-masing dimenangi pasukan DBKK A dan SAFA.
Pasukan DBKK A berjaya membawa pulang hadiah berupa piala dan wang tunai RM2,500 dan SAFA membawa pulang hadiah puala dan wang tunai RM1,500.
Turut dipertandingkan adalah tiga kategori lain iaitu kategori berdua (short oil); kategori berdua (long oil) dan kategori berempat (long oil).
Dalam pada itu, bagi kategori Masters Lelaki telah dimenangi oleh Adri Shahri Santoso, diikuti oleh Md Ainal Narshad (Naib Johan) dan Johari Johanis (Tempat Ke-3).
Manakala kategori Masters Wanita telah diungguli oleh Nurul Ayunni Junaidi, diikuti oleh Nurul Alyssa Junaidi (Naib Johan) dan Siti Nurafiqah (Tempat Ke-3).
Terdahulu, Kejohanan Tenpin Boling Piala Mayor 2025 yang dianjurkan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu itu telah diadakan selama tiga hari bermula 21 Februari lalu.
Acara anjuran DBKK itu merupakan platform untuk para pemain menonjolkan kemahiran mereka dalam sukan boling, selain menjadi medium yang mengeratkan silaturahum antara peserta yang terdiri daripada Agensi-agensi Kerajaan, Persekutuan, Swasta dan Persatuan yang berdaftar di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK