Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Sebanyak 50 peratus jalan negeri dan jalan Persekutuan di Sabah kini memerlukan penyelenggaraan rutin dan rehabilitasi, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan pemeriksaan berkala yang dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), jalan-jalan tersebut digredkan berada dalam kondisi 3, 4, dan 5, iaitu jalan yang berada dalam keadaan sederhana hingga sangat teruk.
“Ini menunjukkan bahawa jalan-jalan ini memerlukan bukan sahaja penyelenggaraan secara rutin, tetapi juga kerja-kerja menaik taraf atau penyelenggaraan berkala seperti rehabilitasi.
“Baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan RM285 juta untuk kerja-kerja rehabilitasi beberapa jalan negeri yang rosak teruk. Bagi jalan persekutuan pula, kita memerlukan kurang daripada RM1 bilion untuk membaiki jalan tersebut. Untuk itu, kita akan berhubung dengan Persekutuan dan memaklumkan keperluan-keperluan kita, berharap kita akan mendapat bantuan,” katanya.
Shahelmy yang juga Timbalan Ketua Menteri III, menambah bahawa penyelenggaraan dan rehabilitasi jalan-jalan tersebut akan menekankan penggunaan bahan-bahan pembinaan yang inovatif bagi meningkatkan ketahanan jalan serta mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara North Borneo Bitumen Sdn Bhd dan PT Putindo Bentech (Indonesia) di KKIP pada Khamis.
Dalam majlis itu, produk bitumen dan asfalt inovatif untuk pembinaan jalan raya diperkenalkan, yang dikatakan mampu meningkatkan ketahanan jalan serta mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang.
Shahelmy berharap kontraktor dan konsesi dapat mempertimbangkan penggunaan bahan-bahan ini dalam projek mereka dan memastikan semua produk mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh JKR.
Dalam perkembangan lain, beliau mengulas isu bekalan bitumen, batu berkualiti, dan tenaga kerja terlatih menjadi cabaran utama dalam sektor pembinaan jalan dan Pan Borneo di Sabah.
“Bitumen ketika ini dibekalkan oleh Petronas dan Shell, namun kedua-duanya mempunyai kapasiti terhad. Oleh itu kita memerlukan inisiatif pihak-pihak lain untuk membekalkan bitumen apabila diperlukan kelak.
“Mengenai isu bekalan batu berkualiti, ada beberapa kawasan di Sabah batunya tidak memenuhi spesifikasi untuk pembinaan jalan raya. Contohnya di Sandakan, kita memerlukan batu dari Tawau dan Lahad Datu.
“Sabah juga memerlukan lebih ramai jurutera serta pengurus projek, saya mencadangkan satu gabungan antara tenaga kerja berpengalaman dan baru untuk menampung kekurangan ini,” katanya.