Tuaran : Penganjuran Jelajah Iftar 2025 yang merupakan inisiatif bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) berupaya membantu golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya berkata, pihaknya turut memuji KTC sebagai sebuah syarikat swasta yang prihatin dalam memberi sumbangan kepada masyarakat.
“Saya ingin beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak KTC dan UPPM atas penganjuran program ini.

“Saya juga berharap agar program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini dapat dianjurkan sempena perayaan lain pada masa akan datang serta menjadi satu amalan menjelang musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis iftar yang berlangsung di Sekolah Rendah Islam Al Hafidz Tuaran dan Masjid Lama Tuaran di sini semalam.
Majlis itu merupakan lokasi ketiga jelajah di Tuaran yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli, dan Kiulu dengan tujuan menyantuni golongan yang memerlukan.
Turut disampaikan adalah pengagihan juadah iftar kepada golongan asnaf, orang kurang upaya, ibu tunggal, anak yatim piatu, serta golongan B40 dimana lebih 400 orang hadir dan 40 penerima sumbangan wang saku raya.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha KTC dan UPPM Sabah untuk membantu golongan kurang berkemampuan di 25 kawasan Parlimen di seluruh Sabah.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau turut menzahirkan kegembiraannya kerana dapat memberi sumbangan kepada masyarakat, terutama melihat keceriaan kanak-kanak ketika membeli-belah untuk Hari Raya.
“Bagi saya, kebahagiaan mereka sudah memadai. Setiap sumbangan, walaupun kecil, tetap bermakna jika dilakukan dengan niat yang ikhlas.
“Saya berharap agar kanak-kanak ini kelak akan menyumbang kembali kepada masyarakat apabila dewasa,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang berkata sebagai sebuah unit yang bertanggungjawab dalam menyelaras pembangunan di peringkat akar umbi, UPPM Sabah memainkan peranan penting dalam memastikan setiap dasar kerajaan sampai kepada rakyat.
“Pihak UPPM Sabah berusaha untuk menjadi penghubung antara masyarakat dan pihak kerajaan bagi memastikan segala keperluan serta permasalahan rakyat mendapat perhatian sewajarnya,” katanya. – SABAH MEDIA