Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang pemilik pusat hiburan dijatuhi hukuman denda RM6,500 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat kerana menjalankan perniagaan melebihi waktu operasi yang dibenarkan.
Jasri Yunus, 25, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas kesalahan itu, yang dilakukan pada 8 Disember 2024, kira-kira jam 2.55 pagi di Barong, Penampang.
Dia didakwa menjalankan perniagaan pusat hiburan melebihi masa yang ditetapkan, iaitu jam 2 pagi, seperti yang dinyatakan dalam lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Hiburan Awam 1958.
Bagi kesalahan it, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Hiburan Awam 1958 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11 Ordinan sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, bersama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Penampang, telah menjalankan operasi bersepadu ‘Op Mega / Op Noda (Op Pusat Hiburan)’ di premis tersebut pada tarikh kejadian.
Hasil pemeriksaan mendapati premis itu masih beroperasi dan muzik dimainkan dengan kuat, walaupun waktu operasi telah tamat. Seorang lelaki, yang bertindak sebagai penjaga premis, ditahan, manakala peralatan muzik dirampas dan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri.