Kota Kinabalu: Pengguna kenderaan di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Perbandaran Penampang (MPP) kini boleh menggunakan aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) dan Flexi Parking (FP) berkuatkuasa Isnin ini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pengguna tidak perlu memuat turun lebih daripada satu aplikasi untuk tujuan yang sama sekaligus mengurangkan kekeliruan dan meningkatkan keselesaan dalam pengurusan parkir harian.

Katanya, sejak diperkenalkan pada 16 Oktober 2024, aplikasi SSP telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
“Sehingga kini, lebih 270,000 pengguna berdaftar telah memanfaatkan sistem ini dalam urusan harian mereka. Ini menunjukkan penerimaan masyarakat terhadap pendigitalan sistem parkir serta keperluan untuk terus mempertingkatkan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Namun begitu, terdapat satu cabaran utama yang dihadapi oleh pengguna, iaitu keperluan untuk menggunakan dua aplikasi yang berasingan bagi membayar caj tempat letak kereta di Kota Kinabalu dan Penampang.
“Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan pengguna, malah menimbulkan kekeliruan serta meningkatkan kebergantungan kepada pelbagai platform digital yang berbeza. Maka, langkah integrasi antara SSP dan FP yang digunapakai oleh MPPadalah satu solusi yang amat dinantikan oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum dan Sidang Media Pelaksanaan Integrasi Aplikasi Tempat Letak Kereta Digital SSP dan FP di sini semalam.
Sabin berkata, pelaksanaan sistem itu juga memperkenalkan beberapa ciri tambahan yang akan memberikan lebih kemudahan kepada pengguna.
“Antaranya ialah kemudahan untuk membuat semakan serta pembayaran tunggakan kompaun yang dikeluarkan oleh DBKK dan MPP.
“Dengan adanya ciri ini, pengguna tidak perlu lagi berurusan secara fizikal di kaunter-kaunter perkhidmatan kerana semua maklumat boleh diakses dengan mudah melalui aplikasi digital.
“Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah dapat meningkatkan kecekapan sistem penguatkuasaan parkir di kedua-dua kawasan pentadbiran,” katanya.
Sementara itu, Sabin berkata, pelaksanaan integrasi itu juga sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memperluaskan digitalisasi dalam perkhidmatan awam.
“Dalam era Revolusi Industri 4.0, penggunaan teknologi bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif dan responsi,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK