Kota Kinabalu: Jalan menghubungkan Keningau – Tenom di kilometer 151.950 / 142.250 ditutup sepenuhnya bermula hari ini susulan kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan berterusan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan berikutan itu jalan berkenaan ditutup atas faktor keselamatan.
Menurut JKR, kerja-kerja pemantauan serta penyediaan laluan lencongan di bahu jalan sedang giat dijalankan.
“Namun, sekiranya keadaan cuaca masih tidak mengizinkan dan runtuhan masih aktif, penutupan jalan terpaksa dilanjutkan sehingga laluan disahkan selamat untuk digunakan,” menurut kenyataan itu di sini.
“Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan supaya menggunakan jalan alternatif di Jalan Tenom – Sipitang (Melalui Sipitang),” menurut kenyataan itu lagi.
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan menggunakan laluan alternatif yang disediakan.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama serta kesabaran semua pihak,” tambah kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA / FOTO JKR SABAH