Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Seramai 55 orang penyewa terpaksa dipindahkan selepas insiden runtuhan lantai tingkat satu sebuah bangunan di Lorong Segama, Jalan Labuk di sini, malam tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.56 malam itu menyebabkan lantai bangunan tersebut runtuh lalu menghempap sebuah restoran yang beroperasi di bahagian bawah premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda ketika dihubungi media berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut melalui panggilan kecemasan MERS 999 yang dibuat oleh orang awam.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah segera digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya.
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada sebuah jentera bomba dengan kekuatan seorang pegawai dan 14 anggota, dibantu tiga anggota JPAM serta pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) yang dianggotai seorang doktor dan dua petugas tiba di lokasi pada jam 8.29 malam.
Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan menemukan seorang wanita warga China berusia 55 tahun yang mengalami kecederaan patah kaki kiri akibat insiden tersebut. Mangsa kemudiannya dihantar ke HQE 1 untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagi memastikan keselamatan penghuni, pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengosongkan tingkat dua dan tiga bangunan tersebut yang merupakan bilik sewa menempatkan seramai 55 orang penyewa.
Sebagai alternatif, sebuah Pusat Penempatan Sementara telah dibuka di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu bagi menempatkan penghuni yang terjejas.

“Enam anggota polis dari Balai Polis Kota Kinabalu turut ditempatkan di lokasi bagi mengawal kawasan kejadian,” tambah Kasim.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan oleh pihak bomba bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan tiada risiko tambahan kepada orang awam.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak berada di kawasan berkenaan sehingga siasatan selesai dan lokasi disahkan selamat. Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan keselamatan semua yang terlibat,” katanya.