HomePendapatPematuhan Skala Yuran Jurutera (SOF) Kunci Pekerjaan Bernilai Tinggi di Sabah

Pematuhan Skala Yuran Jurutera (SOF) Kunci Pekerjaan Bernilai Tinggi di Sabah

Read Time:2 Minute, 31 Second

Kota Kinabalu, 8 Mac 2025 – Industri perkhidmatan kejuruteraan di Sabah kini berdepan cabaran besar apabila ketidakpatuhan terhadap Skala Yuran Jurutera (SOF) menjejaskan daya saing firma tempatan dan peluang pekerjaan bernilai tinggi bagi tenaga kerja profesional. Berdasarkan Kajian Gaji 2024 yang dijalankan oleh Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM), ketidakpatuhan ini bukan sahaja menyumbang kepada kadar gaji yang lebih rendah, tetapi juga mengehadkan pertumbuhan sektor kejuruteraan di negeri ini.

Jurang Gaji dan Migrasi Bakat

Menurut laporan ACEM, jurutera di Sabah menerima gaji yang lebih rendah berbanding rakan sejawat mereka di Semenanjung Malaysia. Gaji median untuk jurutera baharu di Sabah adalah antara RM2,500 hingga RM3,500, manakala di Kuala Lumpur dan Selangor, ia boleh mencecah RM4,000. Keadaan ini telah menyebabkan ramai jurutera berhijrah ke kawasan yang menawarkan imbuhan lebih baik seperti Kuala Lumpur, Singapura dan Indonesia-Kalimantan.

“Ketidakpatuhan terhadap SOF menyukarkan firma untuk menarik dan mengekalkan jurutera berpengalaman, yang seterusnya menghadkan keupayaan mereka untuk membida projek berskala besar,” kata seorang jurutera.

Firma Kejuruteraan Terancam

Data ACEM turut menunjukkan bahawa firma kejuruteraan kecil dan sederhana di Sabah menghadapi kesukaran dalam mengekalkan daya saing kerana margin keuntungan yang rendah akibat bayaran yuran perkhidmatan yang tidak selari dengan skala yang ditetapkan.

“Jika pematuhan terhadap SOF dapat dipertingkatkan sebanyak 20%, industri boleh menjana tambahan RM160 juta setahun, sekaligus mencipta hampir 5,000 pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan dan teknikal,” kata laporan tersebut.

Firma-firma kecil juga berdepan cabaran untuk melabur dalam latihan dan pembangunan profesional bagi tenaga kerja mereka. Tanpa sumber kewangan yang mencukupi, mereka tidak dapat menyediakan latihan yang diperlukan untuk mendapatkan sijil profesional seperti Kejuruteraan Profesional (PE) atau pensijilan antarabangsa yang membolehkan mereka bersaing di peringkat ASEAN.

BEM Annual Reports: PEPC+PE and EPCs report from 2016 – 2024

Peluang dalam Pasaran ASEAN

Pasaran ASEAN menawarkan peluang besar kepada firma kejuruteraan Malaysia, khususnya di Indonesia, Filipina dan Brunei. Projek mega seperti pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan (Nusantara) bernilai RM135 bilion dan projek pembangunan infrastruktur di Brunei bernilai RM1.6 bilion membuka ruang luas kepada firma dari Malaysia.

Namun, firma Sabah menghadapi cabaran untuk menembusi pasaran ini kerana kekurangan kepakaran dalam kod kejuruteraan antarabangsa serta daya saing yang rendah disebabkan pematuhan SOF yang lemah.

“Tanpa pematuhan terhadap SOF, firma kejuruteraan di Sabah tidak dapat meningkatkan skala operasi mereka dan ini menyebabkan mereka kehilangan peluang dalam pasaran bernilai berbilion ringgit di rantau ini,” jelas laporan itu.

Pematuhan SOF

Bagi memastikan kelangsungan industri kejuruteraan di Sabah, pematuhan terhadap SOF perlu diperkukuhkan. Langkah ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing firma tempatan, malah ia juga dapat membantu dalam mencipta pekerjaan bernilai tinggi, menarik lebih banyak bakat tempatan, serta memastikan firma kejuruteraan Sabah mampu bersaing di peringkat serantau.

Dengan sokongan daripada agensi kerajaan dan badan profesional seperti ACEM dan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), firma kejuruteraan di Sabah boleh berkembang dan memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan infrastruktur di Malaysia dan ASEAN.

—————————————————————————————————-

Penulis adalah  Ir. Amirul Hisham Datuk Hj. Ismail  yang merupakan Ahli Jawatankuasa SOF BEM, Ahli Majlis ACEM, Bekas Pengerusi Cawangan ACEM Sabah, Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif IEM Sabah

RELATED ARTICLES
Utama

GRS komited selesaikan isu rakyat, bukan retorik politik – Nizam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular