Kota Kinabalu : Situasi banjir di Sabah terus mencatat jumlah peningkatan mangsa terjejas apabila seramai 522 orang melibatkan 154 keluarga di dua daerah di negeri ini dipindahkan ke tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, antara daerah terjejas banjir adalah di Beaufort dan Membakut.

Di Beaufort, seramai 420 orang mangsa melibatkan 121 keluarga dipindahkan ke dua buah PPS iaitu di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Selagon dan Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir.
Manakala di Membakut, seramai 102 orang mangsa melibatkan 33 keluarga turut dipindahkan ke satu PPS iaitu di Dewan Kesenian Islam Membakut.
Daerah Beaufort dan Membakut merupakan dua daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.- SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH