HomeUtamaSICC anjur majlis berbuka puasa bersama pelajar tahfiz

SICC anjur majlis berbuka puasa bersama pelajar tahfiz

Read Time:2 Minute, 16 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menganjurkan majlis berbuka puasa khas bagi meraikan pelajar dari sekolah tahfiz tempatan, sekali gus mengukuhkan nilai perpaduan dan kemurahan hati dalam komuniti.

Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama Pengarah Great Sights Sdn Bhd, Datuk John Lim, sebagai sebahagian daripada komitmen SICC untuk memberi kembali kepada masyarakat.

Antara institusi tahfiz yang mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam Al Hafidz, Madrasah Darul Hadis DarSa Sabah, Akademi Tahfiz An Nuur, Maahad Tahfiz Al-Quran Ibnu Al-Jazari, dan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah.

Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr Rosmawati Lasuki, dalam ucapan aluannya menyatakan penghargaan atas kehadiran para pelajar serta pihak yang menjayakan majlis ini.

“Ramadan adalah masa untuk bersatu dan berjiwa pemurah, satu kesempatan untuk kita merenung nikmat yang diberikan serta berkongsi kebaikan bukan sahaja meraikan keindahan Ramadan tetapi juga kepentingan bersatu sebagai sebuah komuniti,” katanya.

Rosmawati turut menyampaikan penghargaan kepada Datuk John Lim atas sokongan beliau dalam menjayakan program ini meskipun tidak dapat menghadiri majlis berkenaan.

“Sumbangan mereka memberi peluang indah untuk kita berkongsi dan meraikan Ramadan bersama. Kami amat menghargai kemurahan hati mereka dan berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya lagi.

Majlis berbuka puasa ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SICC yang menekankan nilai kebersamaan, penghargaan budaya serta kepentingan menyokong komuniti setempat.

SICC terus komited untuk bukan sahaja menjadi pusat acara bertaraf dunia tetapi juga platform untuk memperkukuh hubungan sosial dan memupuk nilai murni dalam masyarakat, terutamanya sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Bufet Berbuka Puasa di SICC, lebih 800 hidangan tersedia untuk tetamu sepanjang bulan Ramadan ini.

Tahun ini, Bufet Makan Malam Ramadan di SICC membawa para tetamu menikmati kulinari yang diilhamkan daripada warisan diraja Malaysia.

Antaranya ialah Ayam Masak Cincaluk Tengku Azizah, dimasak dengan pes udang yang diperam serta rempah aromatik, diinspirasikan daripada resipi istimewa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong. Satu lagi tarikan utama ialah Harissa Daging Istana Johor, hidangan daging lembu yang dimasak perlahan bersama rempah Timur Tengah, satu juadah istimewa yang sering dinikmati dalam kalangan keluarga diraja Johor.

Para tetamu boleh menikmati Puding DiRaja, pencuci mulut mewah dari keluarga diraja Pahang yang diperbuat daripada pisang karamel, kastard berkrim, dan sedikit krim segar. Peminat durian pula boleh mencuba Serawa Durian, pencuci mulut berkrim yang menggabungkan Raja Buah dengan santan dan gula Melaka, dihidangkan panas untuk nikmat rasa yang lebih memuaskan.

Selain sajian diraja ini, bufet ini juga menampilkan pelbagai hidangan tradisional tempatan dan antarabangsa yang dipilih dengan teliti oleh pasukan kulinari terkemuka SICC.

Selain menyajikan makanan yang enak, Bufet Ramadan di SICC direka untuk menyatukan masyarakat, meraikan tradisi bersama dan menekankan kepentingan perpaduan.

Melalui acara seperti ini, SICC berharap dapat terus memperkukuh hubungan komuniti sambil mempromosikan kekayaan warisan kulinari Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Pembangunan daerah perlukan komitmen penuh Ahli Majlis Daerah – Dr Joachim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular