KOTA KINABALU: Dalam usaha meringankan beban mangsa kebakaran di Kampung Cempaka, Likas, syarikat perkhidmatan e-hailing, Maxim, tampil menghulurkan bantuan kepada 50 keluarga yang terjejas, melibatkan seramai 669 mangsa.
Program tanggungjawab sosial korporat itu diadakan bagi membantu mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian sehari sebelum Ramadan itu, sekali gus meringankan beban mereka dalam menjalani ibadah puasa di bulan mulia ini.
Justeru itu, pasukan Maxim bersama pemandu rakan kongsi turun padang menyampaikan bekalan makanan dan keperluan asas secara terus kepada mangsa pada Isnin lalu (10 Mac).
Antara barangan yang disalurkan termasuk biskut, mi segera, gula, kopi, susu dan beberapa keperluan lain, mengikut permintaan keluarga terlibat.
Seorang pemandu rakan kongsi Maxim, Mizzuri Asfira Anak Repong, meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menyertai program kebajikan ini.
“Sebagai pemandu rakan kongsi Maxim, saya berbangga kerana dapat menyumbang kepada masyarakat. Program ini bukan sahaja memberi motivasi kepada saya untuk terus bekerja, tetapi juga menggalakkan saya menjadi individu yang lebih prihatin serta berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Maxim E-hailing Kota Kinabalu, Dennie Dimpat, berkata inisiatif seperti ini bukan sekadar membantu golongan memerlukan, tetapi juga mengeratkan hubungan antara syarikat dan komuniti setempat.
“Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga yang terjejas serta menunjukkan bahawa sektor swasta juga mempunyai tanggungjawab dalam menyokong masyarakat,” katanya.
Maxim E-hailing komited untuk terus memainkan peranan dalam aktiviti kemasyarakatan, selari dengan matlamatnya untuk memberi impak positif kepada pengguna dan masyarakat secara keseluruhan.