HomeUtamaBekas pegawai RELA didakwa buat tuntutan palsu elaun PKP RM63,000

Bekas pegawai RELA didakwa buat tuntutan palsu elaun PKP RM63,000

Read Time:1 Minute, 3 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Seorang bekas pegawai RELA daerah Tenom didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 18 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM63,000 berkaitan elaun Penugasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Venantius Masingga, 63, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut kertas pertuduhan, Venantius didakwa mengemukakan dokumen tuntutan elaun penugasan PKP atas nama isteri dan anaknya, sedangkan mereka tidak pernah bertugas, dengan niat menipu Pengarah RELA Negeri Sabah.

Venantius didakwa melakukan kesalahan itu antara Mac 2020 dan Ogos 2021 di Ibu Pejabat RELA Sabah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes dan membenarkan jaminan RM15,000, tetapi hanya RM2,000 perlu didepositkan kepada mahkamah dengan seorang penjamin tempatan.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan bagi tertuduh untuk melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Pegawai Pendakwa, Rekhraj Singh, mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

RELATED ARTICLES
Utama

Terlepas tali gantung, pemuda syukur dapat pulang beraya bersama keluarga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular