HomeSukanLaksana program sukan dengan penuh komitmen - Ellron

Laksana program sukan dengan penuh komitmen – Ellron

Read Time:1 Minute, 57 Second

Kota Kinabalu : Semua persatuan sukan di bawah naungan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah diseru untuk merancang, meneliti dan melaksanakan program pembangunan sukan masing-masing dengan penuh komitmen.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, perbelanjaan yang dibuat menerusi geran tahunan yang disalurkan Kerajaan diharap dapat dikembalikan dalam bentuk laporan yang sahih dan data yang boleh digunapakai untuk memajukan lagi mutu sukan di negeri ini.

“Selaku Menteri, saya menegaskan kepada semua persatuan sukan agar dapat menggunakan bantuan kewangan dari Kerajaan Negeri ini untuk melaksanakan program pembangunan atlet secara efisien dan bertanggungjawab. 

“Jangan sesekali mensia-siakan jumlah peruntukan yang diberikan ini kerana wang yang dibelanjakan ini merupakan duit rakyat yang amat berharga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Skim Insentif Kemenangan Sukan Kejohanan Kebangsaan / Antarabangsa Tahun 2024 dan Penyerahan Geran Tahunan Persatuan Sukan Negeri Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Teks ucapan dibacakan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Renddan.

Ellron berkata, pengeluaran geran seperti tahun sebelumnya boleh dilakukan berdasarkan kepada permohonan persatuan mengikut program-program yang dianjurkan selepas melalui Tatacara Penyaluran Geran Tahunan yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan peruntukan yang disalurkan ini digunakan secara berintegriti.

Katanya, pada tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah terus mengekalkan peruntukan seperti tahun lalu iaitu kira-kira RM3 juta diagih-agihkan kepada 51 persatuan sukan yang masih sah pendaftaran mereka di bawah Pesuruhjaya Sukan.

Pada majlis itu, turut disampaikan skim insentif kemenangan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa 2024 bagi merai kejayaan atlet- atlet yang cemerlang sepanjang tahun lalu. 

Ellron berkata, penyerahan insentif itu pada keseluruhannya akan melibatkan sebanyak RM502,950 dan dipecahkan kepada

dua pencapaian iaitu insentif kemenangan kebangsaan dan antarabangsa untuk sukan `able’ iaitu sebanyak RM237,600 dan insentif kemenangan untuk pencapaian atlet PARA iaitu sebanyak RM265,350.

“Pemberian insentif kemenangan ini agak besar tetapi sangat berbaloi dibelanjakan oleh Kerajaan Sabah demi terus menarik minat dan penyertaan anak-anak muda Sabah, sejajar usaha Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah iaitu untuk melahirkan `Atlet Bertaraf Dunia’.

“Dalam masa yang sama, kerajaan berharap penyertaan anak-anak muda dalam sukan juga dapat membina kehidupan mereka yang lebih berkualiti dan sihat. 

“Ini kerana, sukan mampu membina sahsiah anak- anak muda yang kukuh termasuk disiplin, semangat juang, kerjasama, ketrampilan dan semangat patriotik kepada negara,” katanya. SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Liga Super : Sabah FC gagal akhiri kempen dengan kemenangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular