Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Sebuah klinik perubatan swasta dijatuhi hukuman denda RM7,500 kerana menjual produk kecantikan dan vaksin yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
My Clinicplus Sdn. Bhd., menerusi wakilnya, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, di sini hari ini atas dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, klinik itu didapati menjual satu produk pencerahan kulit yang tidak berdaftar pada 7 September 2023 di premisnya di Luyang Plaza.
Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu turut menjual enam produk lain, termasuk produk pencerahan kulit, rawatan jerawat, dan vaksin tifoid yang tidak berdaftar, pada masa dan tempat yang sama.
Klinik itu didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952.
Hukuman yang diperuntukkan adalah denda tidak melebihi RM50,000 bagi kesalahan pertama, dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi RM100,000, jika sabit kesalahan.
Mahkamah mengenakan denda RM2,500 bagi pertudahan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua, atau waran levi akan dikeluarkan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Semasa rayuan, wakil klinik tersebut, menerusi peguam Dominic Chew, memohon agar mahkamah mengenakan denda minimum dengan alasan bahawa ini merupakan kesalahan pertama dan kesal atas perkara yang berlaku. Dominic juga memaklumkan bahawa klinik tersebut telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa hadapan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Farmasi, Muhammad Nurhalimi Ahmad Azmil, meminta hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan amaran kepada mana-mana pihak lain yang berhasrat melakukan kesalahan yang sama.
Beliau berhujah bahawa penggunaan produk tidak berdaftar boleh mendatangkan risiko kesan sampingan kepada orang awam.
“My Clinicplus Sdn. Bhd. merupakan sebuah klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
“Sebagai sebuah klinik yang dikendalikan oleh pengamal perubatan berdaftar, mereka tidak sepatutnya menggunakan keluaran yang tidak berdaftar dengan KKM kerana ia boleh memudaratkan kesihatan pesakit,” katanya sambil menambah bahawa tindakan seperti itu boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat yang mendapatkan rawatan.