HomeUtamaEkonomi Sabah semakin kukuh, peniaga yakin dengan kestabilan kerajaan

Ekonomi Sabah semakin kukuh, peniaga yakin dengan kestabilan kerajaan

Read Time:3 Minute, 3 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pertumbuhan ekonomi Sabah yang semakin kukuh menunjukkan keyakinan tinggi sektor perniagaan terhadap kestabilan kerajaan negeri, sekali gus merancakkan aktiviti pelaburan dan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan.

Salah satu contoh kejayaan ini dapat dilihat melalui perkembangan pesat Restoran Jamal Salim, yang terus melebarkan sayapnya dengan pembukaan cawangan baharu serta menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, berkata pertumbuhan pesat restoran ini mencerminkan perkembangan ekonomi negeri yang semakin mantap di bawah kepimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) PH-Plus.

Restoran Jamal Salim cawangan Kinarut.

“Setakat ini, Restoran Jamal Salim telah membuka 14 cawangan di seluruh Sabah dengan lebih 600 tenaga kerja. Selepas Hari Raya nanti, tiga lagi cawangan baharu akan dibuka di Kota Marudu, Inanam, dan Keningau. Ini bukti sektor swasta semakin yakin dengan kestabilan kerajaan yang ada,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Penyerahan Bakul Makanan Restoran Jamal Salim 2025 di Sembulan hari ini.

Beliau menambah, pertumbuhan perniagaan seperti ini membawa limpahan ekonomi yang besar, termasuk lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Apabila perniagaan berkembang, peluang pekerjaan bertambah, rakyat berpendapatan lebih baik, dan ini merangsang ekonomi negeri secara keseluruhan. Sabah kini menikmati hasil pendapatan negeri yang meningkat daripada RM4 bilion kepada lebih RM6 bilion dalam tempoh tiga tahun terakhir,” ujarnya.

Dalam usaha menyumbang kembali kepada masyarakat, Restoran Jamal Salim turut mengadakan program kebajikan sempena bulan Ramadan dengan menyumbangkan 1,000 bakul makanan kepada golongan kurang berkemampuan di kawasan sekitar cawangan mereka.

Pada program hari ini, seramai 350 penerima menerima sumbangan bakul makanan.

Turut menerima sumbangan duit raya seramai 30 pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Nahdatul Ilmiah, Taman Sempelang.

Shahelmey (tiga kiri) menerima cendera kenangan daripada penaung Restoran Jamal Salim, Mohd Salim pada majlis itu.

Hadir sama Timbalan Mufti Negeri Sabah merangkap Penasihat Dewan Perniagaan Muslim Sabah (DPMS) Dan Restoran Jamal Salim Datuk Ustaz Abdul Manap Lakariba, Pengerusi DPMS, Abdul Baree Habeeb, Penaung dan Pengasas Restoran Jamal Salim, Mohd Salim Mohd Noor,.dan Ketua Balai Tanjung Aru
Sub Inspektor Razmi Omar.

Melihat kepada kejayaan ini, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Ahli Parlimen Putatan yakin kerajaan Sabah akan terus memperkasakan pertumbuhan ekonomi negeri menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 selepas 2025, sekiranya diberi mandat sekali lagi oleh rakyat.

“Maklum balas yang diterima menunjukkan majoriti rakyat Sabah berpuas hati dengan pembangunan ekonomi di bawah kerajaan sekarang. Kita akan terus memastikan limpahan kemakmuran ini dinikmati oleh semua rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, kejayaan Restoran Jamal Salim dalam mengembangkan rangkaian perniagaannya di Sabah membuktikan keyakinan tinggi peniaga terhadap kestabilan kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Shihan Mohd Salim

Pengurus rangkaian restoran itu, Shihan Mohd Salim, 35, berkata setakat ini mereka memiliki 14 cawangan dan bakal membuka tiga lagi selepas Aidilfitri ini, menjadikan jumlah keseluruhan 17 cawangan di seluruh Sabah.

“Kami mahu memastikan setiap daerah di negeri ini mempunyai cawangan Restoran Jamal Salim. Sejak 2018, ekonomi semakin baik, dan itu memberi kami keyakinan untuk terus berkembang,” katanya kepada Sabah Media hari ini.

Selain mengembangkan perniagaan, beliau turut menekankan komitmen dalam menawarkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan, terutamanya dalam bidang perkhidmatan restoran.

“Setakat ini, kami mempunyai lebih 600 pekerja, dan 70 peratus daripadanya adalah rakyat tempatan dan selebihnya tukang masak (chef) daripada India yang pakar dalam menyediakan masakan tradisi asli masyarakat India. Namun kami juga menyediakan latihan bagi memastikan pekerja tempatan berkemahiran, terutama dalam penyediaan makanan tersebut,” tambahnya.

Restoran Jamal Salim yang terkenal dengan menu seperti nasi beriani, roti nan cheese dan kambing bakar, ditubuhkan pada 2013 oleh bapanya, Mohd Salim Mohd Noor, sebelum beliau mengambil alih pada 2016.

Kini, jenama itu semakin kukuh dan menjadi antara restoran mamak yang mendapat sambutan hangat di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih RM2 bilion peruntukan untuk ATM di Sabah: Mohamed Khaled

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular