Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah akan menganjurkan perbincangan meja bulat bagi membincangkan isu, cabaran, dan strategi pemerkasaan wanita dalam aspek sosioekonomi pada 18 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, dalam satu kenyataan pada Sabtu, berkata perbincangan bertemakan “Memperkasa Wanita: Menuju Masa Hadapan yang Lebih Inklusif” ini bertujuan menekankan kepentingan penyertaan wanita dalam pembangunan negeri.
“Wanita memainkan peranan yang semakin signifikan dalam sektor ekonomi, sosial, dan pentadbiran negeri. Mereka perlu diberikan akses dan peluang serta mewujudkan ekosistem sokongan yang kondusif,” katanya.
Perbincangan ini akan melibatkan wakil badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, pakar ekonomi, serta wakil sektor awam dan swasta bagi membincangkan peranan NGO dalam memperkukuh pemerkasaan wanita di peringkat komuniti.
Menurutnya, sesi ini akan meneliti pelbagai inisiatif seperti program latihan kemahiran, sokongan keusahawanan, program kepimpinan wanita, serta usaha pengukuhan kapasiti.
“Pendekatan bersepadu ini bertujuan memastikan wanita bukan sahaja diberi ruang untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial, tetapi juga memiliki suara dalam pembuatan dasar dan keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka,” katanya.
IDS turut menegaskan kepentingan meningkatkan keupayaan wanita dalam proses pembuatan dasar dan polisi di Sabah.
Penyertaan lebih ramai wanita dalam kepimpinan diharap dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa di peringkat pengurusan dan dalam proses membuat keputusan.
Selain itu, bagi memastikan peningkatan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi, ekosistem sokongan yang menyeluruh perlu diwujudkan, termasuk akses kepada pembiayaan, bimbingan perniagaan, serta jaringan sokongan keusahawanan yang kukuh.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Penyelaras Program, Siti Farizan Omar melalui emel [email protected] atau di talian 088-450500.