Oleh FLORIETA DIET
SANDAKAN: Semua jawatankuasa perhubungan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, menyatakan keyakinannya bahawa semua parti komponen GRS di setiap peringkat telah mula menggerakkan jentera masing-masing.
“Secara holistiknya, Gagasan Rakyat telah merancang persiapan yang meyakinkan, termasuk persiapan logistik dan penggunaan platform digital serta media sosial,” tegas Masiung.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Jumaat.
Masiung menambah bahawa tiga sayap utama Gagasan Rakyat, iaitu Wanita, Pemuda, dan Beliawanis, telah bekerjasama secara efektif dengan parti-parti komponen GRS bagi memastikan gerak kerja awal yang lancar.
Mengulas mengenai isu yang diciptakan pihak pembangkang, termasuk video rasuah yang dimuat naik dengan tujuan politik, Masiung menjelaskan bahawa ia adalah perkara biasa menjelang PRN.
“Pemimpin pembangkang yang sebelum ini menerajui kerajaan lebih banyak mencipta bermacam-macam isu dan tomahan. Sedangkan kita dalam kerajaan lebih menumpukan usaha untuk pembangunan rakyat.
” Kita kini sedang dalam usaha memperbaiki kecacatan yang gagal mereka laksanakan semasa menjadi kerajaan dahulu,” tambahnya.
Jelasnya lagi, apabila pembangkang ditolak rakyat dan tidak lagi berkuasa, mereka mencipta pelbagai cerita yang kurang tepat terhadap kerajaan untuk mempengaruhi persepsi rakyat.