HomeUtamaElak pembaziran, berbelanja bijak di bazar Ramadan – Shahelmey

Elak pembaziran, berbelanja bijak di bazar Ramadan – Shahelmey

Read Time:1 Minute, 8 Second

Oleh FLORIETA DIET

PUTATAN: Bazar Ramadan bukan sekadar tempat membeli juadah berbuka, tetapi juga medan mendidik masyarakat mengenai kepentingan berbelanja secara bijak dan mengelakkan pembaziran.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, yang turun padang meninjau suasana Bazar Ramadan di sekitar Putatan pada petang Sabtu, menekankan kepentingan sikap berhemat dalam membeli makanan.

Shahelmey, yang juga Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Kerja Raya Sabah, melawat tiga lokasi utama Bazar Ramadan iaitu Bazar Ramadan Golden, Bazar Ramadan Uptown, dan Bazar Ramadan Taman Jumbo.

Dalam lawatan itu, beliau menyantuni para peniaga serta pengunjung sambil mengedarkan kurma kepada peniaga.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru orang ramai agar lebih bijak dalam memilih juadah berbuka bagi mengelakkan makanan terbuang.

“Juadah di bazar sangat menarik dan menyelerakan, tetapi kita perlu kawal keinginan dan elak membeli secara berlebihan. Ketika lapar, semuanya nampak sedap, tetapi selepas berbuka, banyak yang tidak habis dan akhirnya terbuang. Ini satu pembaziran yang boleh dielakkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Beliau turut memuji kelancaran operasi bazar serta tahap kebersihan yang baik di lokasi yang dilawati.

Menurutnya, kehadiran ramai peniaga dan pengunjung menunjukkan perkembangan positif dalam ekonomi tempatan, yang memberikan peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan pendapatan sepanjang bulan Ramadan.

Dengan suasana meriah yang terus mewarnai bazar, Shahelmey berharap masyarakat dapat menjadikan Ramadan sebagai bulan yang lebih bermakna dengan mengamalkan sikap sederhana dan menghargai rezeki yang ada.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh usaha lindungi beruang matahari Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular