HomeIsu tempatanMaritim Malaysia pintas bot kargo, disyaki seludup keluar barang bersubsidi

Maritim Malaysia pintas bot kargo, disyaki seludup keluar barang bersubsidi

Read Time:1 Minute, 39 Second

Tawau :  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya memintas sebuah bot kargo tempatan yang membawa barangan bersubsidi iaitu 680 pek minyak masak dan 28 unit tong gas LPG berisi tanpa sebarang dokumen yang sah semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya berjaya menahan bot kargo tersebut yang bergerak laju keluar dari perairan Batu Tiga, Tawau menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia pada jam 10.40 malam.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 2.4 batu nautika barat daya Sungai Kinabutan Kecil tersebut mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun bertindak selaku juragan bot.

“Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berkaitan barangan bersubsidi yang dibawa serta tidak mempuyai daftar nama di dalam lesen bot.

“Juragan,bot serta muatan tersebut seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shahrizan berkata, kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM50,000.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlakunya cubaan penyeludupan barangan tersebut ke negara jiran bagi pasaran luar semasa musim perayaan.

“Siasatan juga akan dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik sindiket penyeludupan barangan bersubsidi ini.

“Penguatkuasaaan semasa musim perayaan akan diperkasa secara optimum dengan rondaan dan pemantauan lebih kerap di kawasan titik panas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrizan berkata, Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan.

Katanya, aset- aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.

Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau kecemasan 999. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatanUtama

Bot pukat jerut bilis ditahan, langgar syarat lesen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular