Oleh FLORIETA DIET
KUNDASANG: Prihatin dengan nasib penjaja yang terjejas akibat kebakaran, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, turun padang pada Sabtu bagi menyampaikan bantuan kepada mereka.
Dr. Joachim berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban para penjaja gerai sayur yang kehilangan tempat mencari rezeki akibat kebakaran di Pekan Kundasang.
Kejadian pada Khamis lalu telah memusnahkan lapan premis, termasuk tiga kedai runcit, dua inap desa, satu blok rumah sewa dengan 11 pintu, serta sebuah stor penyimpanan barang runcit.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata beliau mendapat berita mengenai kejadian tersebut ketika berada di Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63. Sebaik tiba dari Kuala Lumpur, beliau terus ke lokasi kejadian untuk meninjau sendiri situasi di lapangan.
Dalam lawatan itu, beliau turut mendengar penerangan daripada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dounis Sani, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) Suatin Mayor, Presiden Persatuan Penjaja Gerai Sayur Kundasang Mariana Taliban serta wakil daripada Majlis Daerah Ranau.
Dr. Joachim memaklumkan bahawa pihaknya sedang menunggu laporan penuh kebakaran dari bahagian forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Beliau juga dimaklumkan bahawa Pejabat Daerah dan JBPM akan bermesyuarat minggu depan untuk tindakan lanjut.
Selain itu, beliau berharap pihak JKDB dan Majlis Daerah dapat membantu mempercepatkan proses pembinaan semula premis yang terjejas mengikut prosedur yang ditetapkan, demi memastikan penjaja dapat kembali meneruskan perniagaan mereka secepat mungkin.