Kuala Lumpur, Jentayu Sustainables Bhd mengumumkan pembatalan perjanjian pengambilalihan aset hidro di Sabah selepas lebih tiga tahun perjanjian dimeterai pada September 2021.
Pembatalan ini melibatkan Senja Optima Sdn Bhd, Telekosang Hydro One Sdn Bhd, dan Telekosang Hydro Two Sdn Bhd, yang memiliki loji hidro Telekosang berkapasiti 40MW katanya dalam satu pemakluman kepada bursa Malaysia semalam.
Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, Mercury Securities, mewakili Lembaga Pengarah Jentayu, menyatakan bahawa keputusan ini dibuat secara bersama dengan pihak vendor memandangkan ketidakpastian yang timbul dalam pelaksanaan cadangan pengambilalihan tersebut.
Keputusan ini dibuat selepas Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menolak permohonan lanjutan tempoh untuk menyelesaikan transaksi tersebut. Jentayu memutuskan untuk tidak meneruskan pengambilalihan berikutan kos tambahan dan ketidakpastian tempoh penyelesaian.
Penamatan Hydro ini akan memberi beberapa kesan kewangan kepada Jentayu Sustainables, termasuk Perbelanjaan Pengambilalihan dimana Syarikat akan menanggung kos sebanyak RM6.35 juta yang sebelum ini dikategorikan sebagai prabayaran dalam penyata kewangan terkonsolidasi dan akan dicaj dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Ia juga membabitkan Pemulangan Deposit iaitu Jumlah wang pendahuluan sebanyak RM16 juta yang telah dibayar oleh Jentayu kepada vendor akan dipulangkan sepenuhnya kepada Syarikat, selaras dengan terma perjanjian yang ditamatkan.
Saham Jentayu Sustainables ditutup susut satu sen atau 2.41% kepada 40.5 sen pada Isnin, menjadikan nilai pasaran kumpulan sekitar RM178.25 juta.