Oleh FLORIETA DIET
SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sandakan akan melaksanakan usaha secara bersepadu dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan bagi membanteras penyelewengan barang kawalan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John berkata demikian selepas mengadakan dua kunjungan hormat di dua agensi tersebut pada Isnin.
“Selain membincangkan isu penyelewengan barang kawalan, kedua-dua agensi bersetuju untuk berkongsi maklumat risikan dan menyediakan bantuan sumber manusia bagi memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan dan dinamik,” katanya.
Kunjungan hormat pertama Azdy dimulakan dengan bertemu Pengarah Maritim Sandakan, Kapten (M) Muhammad Suhairy Hussain di APMM Sandakan.
Pada sebelah petang, Azdy meneruskan kunjungan hormatnya ke pejabat Pegawai Pemerintah PGA Batalion 15 Sandakan, Superintenden Ijid Landu Binju.
Azdy berharap hubungan kerjasama strategik ini dapat memperkukuhkan lagi aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu antara KPDN Sandakan, APMM dan PGA Batalion 15 Sandakan dalam usaha membanteras penyelewengan barang kawalan, terutamanya di Sandakan.
Orang awam juga boleh menyalurkan sebarang maklumat, aduan dan pertanyaan melalui e-aduan di aduan.kpdn.gov.my, talian 089-668107 (KPDN Sandakan), atau aplikasi WhatsApp di 019-848 8000 (Aduan Pengguna).