Kota Kinabalu : Rakyat di negeri ini perlu membuat perbandingan dan menilai ‘track record’ Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bersungguh-sungguh memastikan isu keperluan asas di negeri ini dapat diatasi.
Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Azrul Ibrahim berkata, langkah penyelesaian bagi mengatasi sesuatu isu berkaitan rakyat amat jelas dilihat dan turut memberi harapan kepada rakyat di negeri ini.
Katanya, pelbagai isu dibangkitkan termasuk serangan politik yang dibuat pihak lawan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan parti pimpinannya.
“Menjawab tuduhan tersebut, mari kita lihat ‘track record’ Kerajaan dan pimpinan sedia ada dimana Kerajaan GRS telah merekodkan hasil negeri tertinggi dalam sejarah tiga tahun berturut-turut yang menghampiri RM7 bilion.
“Dengan adanya hasil yang bertambah, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk membantu rakyat. Sekadar memetik beberapa contoh pelaksanaan Rumah Mesra SMJ yang membantu hampir 4,000 keluarga susah memperoleh rumah secara percuma serta beberapa inisiatif lain
“Semua ini dapat dilakukan kerana kerajaan negeri mempunyai dana yang lebih banyak untuk membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Azrul berkata, Kerajaan Sabah juga telah dapat melonjak pertumbuhan ekonomi negeri sehingga 4.5 peratus setelah mengalami kemerosotan bermula tahun 2018 dan ianya jelas memperlihatkan kerajaan mana yang benar-benar berupaya membawa ekonomi Sabah lebih kompeten.
Selain itu katanya, Kerajaan GRS juga dapat menarik ramai pelabur sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak muda apabila Syarikat Kibing mengambil orang Sabah bekerja seramai 1,481 orang di Kilang Solar KKIP serta beberapa kilang lain termasuk di Lahad Dtau.
“Gagalkah kerajaan GRS yang berjaya meningkatkan geran khas persekutuan drp RM26.7 juta kpd RM600 juta pada hari ini dan gagalkah kerajaan GRS yang berjaya menempatkan SMJ E Sdn Bhd, sebuah syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri ke kedudukan yang strategik dalam industri minyak dan gas dengan modal permulaan RM50 juta yang kini telah meningkat kepada RM5.1 bilion dalam tempoh kurang 3 tahun, sehingga diiktiraf oleh The Edge,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif dan kejayaan lain telah berjaya dicapai Kerajaan Sabah termasuk mengatasi isu air dan bekalan elektrik serta infrastuktur jalan seperti Pan Borneo.
“Maka, dalam membuat pertimbangan, rakyat perlu menilai ‘track record’ kerajaan yang boleh diberikan sandaran dan mandat dalam PRN17 nanti, bagi memastikan masa hadapan negeri yang lebih baik.
“Inshaa Allah kesatuan kalangan kita akan menjadikan suara kita sebagai Sabahan akan lebih dihormati dan disegani,” katanya. – SABAH MEDIA