HomeUtamaSEDIA pohon 14 projek di bawah Rolling Plan Pertama RMK13

SEDIA pohon 14 projek di bawah Rolling Plan Pertama RMK13

Read Time:3 Minute, 8 Second

Tuaran: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) telah menyerahkan sebanyak 14 permohonan projek, termasuk 10 projek baharu bernilai RM702 juta di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula awal tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berharap permohonan SEDIA akan mendapat pertimbangan dan kelulusan daripada Kementerian Ekonomi.

Mempengerusikan mesyuarat SEDIA di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di Kampung Lok Batik di sini hari ini, Hajiji memuji SEDIA kerana mengekalkan rekod sijil tanpa teguran dari segi pengurusan kewangan daripada Ketua Audit Negara selama 15 tahun berturut-turut.

“Saya juga mahu agar pemantauan pelaksanaan semua projek di bawah kawalan SEDIA hendaklah dilakukan dengan kerap dan bersungguh-sungguh agar masalah-masalah berbangkit dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Hajiji, yang juga Pengerusi SEDIA, berkata dalam tempoh dua tahun ini pihak berkuasa itu telah berjaya menjalankan penyelidikan dan persidangan mengenai sektor-sektor yang berpotensi untuk membangunkan aktiviti ekonomi Sabah.

“SEDIA, dengan pembiayaan daripada Kementerian Ekonomi, telah menyiapkan Kajian Pembangunan Ekonomi Kawasan Sempadan Sabah, yang menyediakan satu pelan strategik komprehesif untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan di kawasan sempadan di Sipitang, Nabawan, Kalabakan dan Tawau.

“Kawasan-kawasan ini terletak secara strategik berhampiran Kalimantan Utara, Brunei dan Sarawak. Sembilan sektor ekonomi berpotensi tinggi telah dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, sektor-sektor ekonomi itu termasuk pelancongan berasaskan komuniti, perikanan dan akuakultur, industri hiliran minyak sawit, biokimia, biofuel dan perdagangan rentas sempadan yang dijangkakan dapat meningkatkan Nilai Tambah Kasar kepada sumber sedia ada sebanyak 330 peratus kepada RM1.6 bilion dan membuka 10,660 peluang pekerjaan menjelang 2040.

Selain itu, satu kajian kebolehlaksanaan mengenai penternakan kerang berdarah yang dijalankan antara SEDIA dan Jabatan Perikanan Malaysia dan Sabah telah mengenal pasti beberapa lokasi di Tawau, Semporna, Tuaran, Kudat, Beluran dan Teluk Padas Beaufort.

“Projek Kerang Berdarah, yang merupakan pertama di Sabah, mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi membantu lebih daripada 3,000 orang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerjasama yang dijalin antara SEDIA dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) telah dapat menilai dan membimbing 10 kajian tempatan yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Hajiji berkata Sabah juga telah dipilih sebagai medan ujian pengunaan dron pengangkutan penumpang dan kargo yang bakal dilakukan oleh SEDIA bersama FUTURISE Berhad, sebuah syarikat Kementerian Kewangan Malaysia, di lokasi sesuai yang sedang dikenal pasti.

Hajiji berkata SEDIA telah melaksanakan lebih daripada 1,275 projek sejak 2009 melalui RMK9 hingga ke RMK12.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, SEDIA telah diperuntukkan sejumlah RM3.8 bilion dengan RM3.1 bilion telah disalurkan dan lebih kurang 90 peratus atau RM2.8 bilion telah dibelanjakan untuk melaksanakan projek-projek berimpak tinggi, people-centric, program pembasmian kemiskinan dan pembangunan modal insan.

“Melihat kepada inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan itu, saya mahu agar SEDIA dan agensi-agensi Kerajaan Negeri untuk sentiasa mencari rakan strategik supaya dapat meneroka bidang-bidang baharu yang berpotensi menjana pendapatan dan peluang-peluang pekerjaan,” katanya.

Bercakap pada majlis Iftar bersama pengerusi masjid dan surau, Imam, Ketua-Ketua Anak Negeri, wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung selepas mesyuarat SEDIA, Hajiji bersyukur begitu banyak yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri selaras dengan aspira si Sabah Maju Jaya sejak 2020.

“Ini membuktikan bahawa lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan jika kita terus komited dan fokus dalam mengurus negeri ini. Semua ini juga dapat dilakukan dengan adanya kerjasama daripada semua pihak, terutamanya pemimpin akar umbi selain ditambah den gan kestabilan politik.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin di peringkat akar umbi atas komitmen mereka dan peranan penting yang telah mereka mainkan selama ini,” katanya.

Sempena majlis itu, SEDIA menyampaikan sumbangan Kasih Ramadan kepada semua pengerusi masjid dan surau, Imam, Ketua-Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua-Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung sebagai penghargaan untuk sumbangan mereka kepada masyarakat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sekolah integrasi lahir generasi berilmu, berakhlak mulia – Tun Musa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular