HomeUtamaPBNS agih sumbangan kewangan kepada pihak memerlukan

PBNS agih sumbangan kewangan kepada pihak memerlukan

Read Time:2 Minute, 4 Second

Kota Kinabalu : Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) telah mengagih sumbangan kewangan berjumlah RM438,000 kepada pelbagai pihak yang dikenal pasti setakat ini.

Pengerusi PBNS Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM309,000 diagihkan sepanjang bulan Ramadan ini.

Katanya sumbangan Ramadan itu adalah melalui aktiviti Jelajah Jalinan Kasih, Shopping raya dan aktiviti kebajikan yang lain yang telah dan akan dilaksanakan di beberapa daerah di negeri Sabah.

“Ini merupakan usaha dan komitmen yang diberikan oleh PBNS sebagai sebuah keluarga atau sahabat yang sama sepakat dalam mengerjakan sesuatu pekerjaan, sama ada yang ringan ataupun yang berat, wujud permuafakatan dalam mengerjakan sesuatu, sama-sama menanggung susah dan senang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Jalinan Kasih Ramadan PBNS di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PBNS, Awang Syairin Awang Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif PBNS, Ismail Mohd Adnan dan Pengerusi Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Se-Malaysia, Nicholas Sylvester.

Omar berkata, sejak mula beroperasi pada 2005, PBNS sentiasa menikberatkan kebajikan masyarakat di negeri ini dan sentiasa berusaha ke arah meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Katanya perkhidmatan itu khususnya dalam menyediakan bantuan terutama berkaitan pembangunan syiar, ekonomi dan pemantapan tadbir urus serta sistem penyampaian yang menjadi teras kepada pelan strategik PBNS.

Menurutnya menerusi teras pertama PBNS, iaitu Pembangunan Syiar, badan itu merancang strategi dan pelan tindakan untuk memantapkan Pentadbiran Kumpulan Wang Amanah Baitulmal yang melibatkan dana sedekah, fidyah, kaffarah, wang tidak patuh syariah dan harta pusaka.

Tambahnya, dana itulah yang dikumpul dan diagihkan kepada pelbagai pihak yang dikenal pasti memerlukan sokongan daripada badan baitulmal itu.

“Dana yang dikutip dan diterima ini diagihkan melalui skim bantuan seperti bantuan untuk institusi tahfiz, madrasah, masjid dan surau, KAFA dan aktiviti dakwah bagi memperkukuhkan syiar Islam di Sabah.

“Tiga teras ini ditetapkan bagi menterjemah aspirasi PBNS sebagai Peneraju Maslahat Ummah,” katanya.

Sempena majlis itu, PBNS menyerahkan sumbangan kewangan kepada 11 institusi tahfiz, madrasah, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan persatuan selain sumbangan tunai kepada 30 pelajar Ma’ahad Tahfiz Miftahul Ulum Kampung Tanjung Aru Baru.

Ma’ahad tahfiz berkenaan turut menerima sumbangan kewangan sebanyak RM5,000, diikuti Madrasah Tahfiz Nur ASBEH, Madrasah Darul Hadis Bongawan, Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Kota Kinabalu, Madrasah Pendidikan Tahfiz Al-Quran Nurul Furqan dan Pertubuhan Himpunan Alumni Al-Azhar Sabah.

Penerima selebihnya ialah Pertubuhan Inspirasi Prihatin Sabah, Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Se-Malaysia, Hidayah Centre Foundation Cawangan Sabah, Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Masjid Kampung Jawi-Jawi Kota Belud dan Madrasah Tahfiz Darul Yatama Yacobkhan Membakut – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Perdana Menteri puji ketenangan Hajiji hadapi hiruk-pikuk politik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular