HomeUtamaSekolah integrasi lahir generasi berilmu, berakhlak mulia - Tun Musa

Sekolah integrasi lahir generasi berilmu, berakhlak mulia – Tun Musa

Read Time:1 Minute, 36 Second

Membakut: Pendidikan bersepadu yang diterapkan di Sekolah Rendah Integrasi (SRI) mampu melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata, sekolah bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi juga medan untuk membentuk insan yang berakhlak, berdaya saing dan bersedia untuk memimpin ummah.

“Kita merasa bangga kerana SRI Khalia Khan ini merupakan sekolah kelima di Sabah dan menjadi sekolah ke 230 di Malaysia yang menerima status Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

“Kewujudan sekolah ini membuktikan kesungguhan pihak berkuasa dalam membantu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu duniawi tetapi juga kuat pegangan agamanya,” katanya.

Tun Musa turut mengingatkan peranan guru dalam mendidik pelajar dengan penuh keikhlasan dan kesabaran bagi memastikan generasi muda berdaya saing dan berakhlak mulia.

“Para pelajar harus menanam tekad bahawa ilmu yang diperolehi bukan hanya untuk kejayaan dunia, tetapi juga sebagai bekalan menuju akhirat,” katanya.

Tun Musa berkata demikian ketika berucap merasmikan SRI Haji Khalia Khan Membakut, di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Herwan Harun menerima sumbangan MUIS bagi Pengurusan SRI 2025 berjumlah RM70,000 yang disampaikan oleh Tun Musa manakala Sumbangan Pengurusan Rumah Anak Yatim dan Tahfiz 2025 turut diserahkan kepada Pengasas Rumah Anak Yatim dan Tahfiz Darul Yatama Yacob Khan, Datuk Gullam Hassan Yacob Khan bernilai RM240,000.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohammad Alamin, Mufti Kerajaan Negeri Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin serta Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad.

SRI Haji Khalia Khan yang memulakan operasinya pada tahun 2017, secara rasmi telah berdaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia pada 4 November 2024.

Dengan status sebagai SABK, sekolah berkenaan diharap akan terus berkembang menjadi pusat pendidikan yang mampu melahirkan insan berilmu, beriman, dan berakhlak mulia, selari dengan falsafah pendidikan Islam yang menyeluruh.

RELATED ARTICLES
Utama

100 penghantar p-hailing terima sumbangan baucar minyak dan kurma

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular