HomeUtamaBekas banduan kes dadah dipenjara lagi, disebat

Bekas banduan kes dadah dipenjara lagi, disebat

Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Belum sempat insaf, seorang lelaki yang pernah disabitkan kesalahan dadah kembali ke tirai besi selepas didapati bersalah atas jenayah sama.

Kali ini, Mohd. Afifi Nanun, 39, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun tiga bulan serta tiga sebatan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, turut memerintahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas menjalani hukuman.

Mohd. Afifi didapati bersalah memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badannya ketika ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, pada 27 Disember 2023, sekitar jam 4.10 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang dibaca bersama Seksyen 39C(2) akta yang sama, kerana mempunyai satu sabitan lampau di bawah Seksyen 39C(1).

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 13 tahun, serta sebatan tidak kurang daripada tiga kali tetapi tidak lebih daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap.

Dalam perbicaraan, pendakwaan mengemukakan lima saksi, manakala tertuduh merupakan satu-satunya saksi bagi pihak pembelaan.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman diringankan, dengan alasan bahawa isterinya tidak bekerja dan mereka mempunyai lapan orang anak.

“Orang tua saya sudah lanjut usia, hanya mampu berbaring dan tidak boleh berjalan, jadi mereka hanya mengharapkan saya untuk membantu mereka.

“Saya mohon agar Mahkamah memberikan saya hukuman yang ringan kerana saya seorang sahaja ahli keluarga dan tiada orang lain yang boleh diharap. Saya berjanji selepas saya keluar saya tidak akan mengulangi lagi kesalahan saya,” tambahnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sofia S. Sawayan memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran memandangkan tertuduh telah mengulangi kesalahan sama.

RELATED ARTICLES
Utama

Tindakan Parti Warisan heret Istana Negeri dalam permainan politik dilihat berniat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular