Kota Kinabalu : Seramai 20 anak yatim dan balu Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sabah menerima sumbangan zakat daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Sumbangan itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada Majlis Berbuka Puasa PDRM Kontinjen Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Peringatan Hari Polis Yang Ke-218 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini malam ini.

Tun Musa yang ditemani isterinya, Toh Puan Faridah Tussin turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada anak yatim dan balu terbabit.
Pada majlis itu, Tun Musa diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama kira-kira 700 orang jemaah di Surau Fisabilillah IPD KK.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.