HomeUtamaImpian penduduk miliki geran tanah tercapai selepas lebih 30 tahun menanti

Impian penduduk miliki geran tanah tercapai selepas lebih 30 tahun menanti

Read Time:1 Minute, 53 Second

Kota Belud : Impian sebahagian penduduk Tempasuk untuk memiliki geran tanah akhirnya tercapai selepas lebih 30 tahun menanti.

Penerima geran yang terlibat mengakui dokumen pemilikan itu merupakan satu simbol hak milik yang telah lama dinantikan oleh keluarga mereka.

Meskipun ada penerima yang telah meninggal dunia sebelum sempat melihat geran sendiri, waris yang hadir menerima geran tersebut menganggapnya sebagai hadiah bermakna menjelang Aidilfitri.

Salah seorang penerima, Farid Othman, 46, berkata, permohonan bagi geran tanah ini dibuat oleh arwah bapanya ketika masih bekerja, namun hanya kini ia berjaya diperoleh hasil inisiatif kerajaan negeri.

“Sebelum ini geran ini dipohon waktu arwah bapa masih bekerja lagi. Tapi bila dia sudah bersara dan meninggal dunia, belum lagi kami dapat terima geran.

“Tapi alhamdulillah, hari ini di bawah Datuk Mohd Arsad Bistari, inisiatifnya dapat juga rakyat Tempasuk di kawasan Taun Gusi menerima geran yang sekian lama kita tunggu,” katanya.

Seorang lagi penerima, Mahmud Ansit, 57, turut berkongsi pengalaman keluarganya yang telah menunggu lebih 30 tahun untuk memperoleh hak milik tanah mereka.

“Setelah penantian selama lebih kurang 30 tahun lebih, pada hari ini kami sudah dapat geran, bermakna hak mutlak terhadap tanah tersebut.

“Kalau mengikut sejarah dulu, memang tanah ini daripada arwah bapa kami buat permohonan dan memang menunggu masa yang agak lama,” katanya.

Sementara itu, Kassim Etong, 54, menyatakan rasa syukur selepas berulang kali berusaha mendapatkan geran tanahnya sebelum akhirnya berjaya dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekarang.

“Alhamdulillah, syukur. Begitu susah payah saya berusaha untuk mendapatkan geran tanah, banyak kali berulang-alik ke Jabatan Tanah, namun berterima kasihlah dalam kerajaan GRS ini saya menerima geran tanah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata, usaha kerajaan negeri bukan sahaja menyelesaikan isu permohonan tanah yang tertangguh sejak puluhan tahun lalu, tetapi juga mempercepatkan pengeluaran geran menerusi Program PANTAS yang akan memanfaatkan 400 penerima.

“Sekarang ini untuk DUN Tempasuk, kita ada tujuh mukim, dan untuk geran PANTAS ini, tiga mukim terlibat dalam proses penyukatan tanah.

“Contohnya, di Tempasuk, bulan Mei ini kita akan serahkan geran kepada 400 penerima. Fasa kedua pula di Mukim Keguraan dan fasa ketiga di Mukim Rosok,” katanya.

Majlis penyerahan 55 geran tanah melibatkan kawasan seluas 3,854 ekar telah berlangsung dalam Majlis Iftar Silaturahim anjuran Pusat Khidmat Rakyat DUN Tempasuk di sini semalam. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

60 asnaf, 10 masjid dan surau terima sumbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular