Kota Kinabalu : Sikap pemimpin pembangkang yang sering memutarbelit fakta terutama mengenai sambutan rasmi ulang tahun Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri disifatkan sebagai politik tidak matang dan murahan
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, tindakan itu juga dilihat merupakan satu langkah terdesak
Katanya, pembangkang sewajarnya perlu memahami pengisian acara rasmi sempena Sambutan Ulang Tahun Yang di-Pertua Negeri Sabah sebelum menjadikannya sebagai isu politik.
“Ini bukan soal ‘tiga bulan pesta’. Ini bukan soal ‘majlis makan-makan mewah setiap malam’. Antara acara yang dirancang bukan pesta muda mudi. Ada majlis tahlil dan doa kesyukuran, ada juga majlis minum petang bersama anak-anak yatim dan OKU.
“Acara kemuncak pula pada 21 Jun, termasuk perbarisan rasmi, penyampaian anugerah darjah kebesaran dan jamuan negeri. Ini adalah sambutan rasmi negeri kita yang berlangsung setiap tahun. Yang pernah berlaku di bawah mana-mana kerajaan, tidak kira benderanya.
“Sebenarnya, hanya tujuh acara rasmi dijadualkan. Bukan tiga bulan berturut-turut. Bukan konvoi setiap hari. Jumlah acara tahun ini sudah pun dikurangkan berbanding tahun lepas yang ada 12 acara. Malah, bajetnya juga dikurangkan sebanyak 30 peratus,” katanya.
Ceasar berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sambutan terbabit diadakan selama tiga bulan sehingga mencetuskan kekeliruan orang ramai sejak kelmarin.
Beliau yang Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri turut berkata acara sama juga pernah dilakukan ketika pembangkang menerajui kerajaan negeri sebelum ini.
“Ironinya, semasa mereka menjadi kerajaan, acara ini juga diadakan. Tiada pula kedengaran suara-suara sumbang ketika itu. Bila hilang kuasa, baru muncul sensitiviti palsu.
“Politik seperti ini tidak membawa kita ke mana-mana. Bila fakta diputar belit, bila rakyat dipaksa marah atas perkara yang tidak wujud, maka demokrasi menjadi mangsa. Pemimpin sebegini sebenarnya hanya pandai menangguk di air keruh,” katanya.
Dalam pada itu, Ceasar turut menegaskan semua pihak termasuk pembangkang harus meneliti sesuatu perkara atau isu dengan menyemak fakta yang tepat disamping mengingatkan kepada pemimpin harus menyatakan perkara benar.
“Kita perlu pemimpin yang bercakap benar walaupun tidak popular. Bukan yang popular kerana putar belit. Jika setiap perkara dijadikan bahan politik, maka bila masanya kita akan sempat membina negeri ini?
“Ini bukan soal Tuan Yang Terutama (TYT). Ini soal kedewasaan politik. Dan jika isu sekecil ini pun dijadikan medan serangan tanpa asas, bayangkan bagaimana mereka akan kendalikan isu yang lebih besar jika kembali berkuasa?.
“Saya tidak minta kita semua bersetuju dengan kerajaan. Tapi biarlah kritikan itu bersandarkan fakta, bukan persepsi. Jangan terlampau bermain sentimen, bikin-bikin cerita, dan membakar perasaan rakyat.
“Kalau Sabah berpecah, yang rugi bukan musuh politik, tapi harapan dan masa depan anak cucu kita,” katanya. – SABAH MEDIA