Kota Kinabalu: Seluruh rakyat Sabah diajak tidak kira bangsa dan agama untuk sama-sama berusaha ke arah mengekalkan perpaduan dan keharmonian.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuklah bersama-sama untuk membangunkan negeri ini sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Bagi pihak kerajaan, kita sentiasa mendengar, memahami seterusnya bertindak menyelesaikan masalah serta isu yang dihadapi oleh rakyat,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.
Hajiji berkata, sempena Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini, adalah penting untuk semua pihak untuk mengingati mereka yang kurang bernasib baik.
Katanya, semangat bersedekah dan ihsan merupakan salah satu makna Aidilfitri dan bersama untuk menghulurkan tangan dengan hati terbuka membantu mereka yang memerlukan.
“Semoga kita semua berusaha untuk menyokong satu sama lain, memperkukuh semangat kemasyarakatan dan perpaduan yang terkandung dalam perayaan ini.
“Dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri, jangan kita lupa untuk bersyukur dengan kekuatan dan ketabahan kita sepanjang bulan Ramadan.
“Ketika berpuasa dan muhasabah diri ini membawa kita lebih dekat kepada iman, mengingatkan tentang kepentingan kesabaran, ketabahan, dan pemahaman.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan keluarga, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua Muslimin dan Muslimat yang meraikannya,” tambahnya. – SABAH MEDIA