Kota Kinabalu: Seramai 60 orang asnaf dan 10 buah masjid serta surau di sekitar Pulau Gaya menerima sumbangan sempena menyambut ketibaan Syawal.
Sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai dari Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Sabah itu disampaikan oleh TImbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya dalam Program Sahur dan Solat Subuh Bersama Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Sains Teknologi Inovasi Dengan Penduduk Kampung Pulau Gaya di Masjid Al-Aliff Kampung Pulau Gaya, di sini semalam.

Shahelmey ketika ditemui berkata, pihaknya berharap sumbangan tersebut dapat mengeratkan hubungan di antara kerajaan dan masyarakat, di samping memberi kelegaan kepada golongan tersebut dalam membuat persiapan menyambut Syawal dalam beberapa hari lagi.
“Tujuan program ini adalah untuk mengeratkan silaturahim di samping pihak MUIS, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan juga Baitulmal menyerahkan sumbangan Ramadan dan juga persiapan menjelang ketibaan satu syawal.
“Jadi, kita berharap dengan adanya program seperti ini yang akan merapatkan lagi hubungan antara kerajaan dengan masyarakat setempat dan memberi kelegaan kepada masyarakat ataupun golongan asnaf untuk membuat persiapan menjelang ketibaan satu syawal,” katanya
Pada program itu, Shahelmy yang juga Ahli Parlimen Putatan turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada golongan tersebut.
Beliau berharap bantuan kepada masjid dan surau tersebut dapat memudahkan ahli jawatankuasa menjalankan aktiviti untuk manfaat masyarakat.
“Kita berharap dengan adanya sumbangan tersebut masjid-masjid dan surau-surau boleh menggunakan sumbangan tersebut untuk aktiviti,” katanya.
Hadir sama Menteri Sains Teknologi Inovasi Datuk Dr Arifin Mohd Arif merangkap Exco Agama, Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif MUIS Ramlan Awang Ali, Pengerusi Baitulmal Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar, dan Timbalan Pengarah JHEAINS Awang Juri Ag. Tahir.-